KONSERT BLUES GANG DI ZEPP KL PUKAU 1,200 PENONTON

Bukan mudah untuk beraksi dihadapan penonton secara langsung, apatah lagi dalam usia separuh abad. Kemunculan Blues Gang di pentas Zepp Kuala Lumpur pada malam tadi memukau hampir 1,200 penonton.

Mempersembahkan hampir 18 buah lagu termasuk 5 buah lagu nyanyian dari dua penyanyi undangan iaitu Alex Terry dari Australia dan Shasha Zainal, Blues Gang Apo Nak Dikato boleh dikatakan sebagai konsert mencipta 'kenangan', memandangkan kesemua lagu popular mereka dipersembahkan secara santai bersesuaian dengan konsep muzik mereka lebih kepada elemen blues dan pop rock.

Membuka persembahan dengan lagu Malaya Blues, kemudian Oh Mak Siti dan Ibu sehinggalah  kepada lagu Oh Mama Saya Mahu Kahwin, Blues Gang tampil menggoncang dan memukau segenap ruang di pentas membuktikan usia 'emas' yang dimiliki bukanlah penghalang untuk mempersembahkan sesuatu yang berharga buat peminat muzik kerana rata-rata penonton yang hadir dan pulang, mampu tersenyum bagaikan mengimbas kenangan 5 dekad yang lalu.

Dianggotai Ito Mohd (vokal), Julian Mokhtar (gitar) dan Tok Ghani (keyboard), Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang dibawakan khas oleh AV Group selaku penganjur itu turut menampilkan Kit Afero (Gitar) yang juga anak kepada Ito, Munir Shamsudin (dram), Shaharudin Sharif (bass) dan Satiman (keyboard) merakamkan memori dan kenangan manis dan bukanlah persembahan terakhir Blues Gang di dalam industri muzik tanah air.

Ketika berucap di antara lagu dalam persembahan ini, Ito Mohd selaku vokalis utama dan pemain harmonika dalam Blues Gang menyifatkan konsert yang berlangsung hampir dua jam malam tadi akan tersemat dalam kamus hidupnya dan merupakan konsert bersejarah mereka walaupun tinggal bertiga bagi memperjuangkan seni muzik  yang berakar hampir 5 dekad lamanya.

"Terima Kasih buat anda yang hadir. Sebagai penyanyi dalam Blues Gang, saya teruja ketika dimaklumkan sambutan penonton agak baik walaupun jualan tiketnya agak perlahan. Pada malam ini, untuk merakamkan kenangan bersama saya mohon semua dari kita yang berada pada malam ini untuk bersama-sama menyanyi dan menghayati muzik dan lagu dari kami bertiga.

"Semoga kita berjumpa lagi dan Blues Gang sentiasa hidup dalam jiwa anda. Terima kasih untuk kenangan malam ini," katanya.


Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang dipentaskan malam tadi bertempat di Zepp Kuala Lumpur berjaya menghimpunkan ramai peminat bukan sahaja seusia mereka tetapi generasi baharu turut kelihatan bersama dalam konsert bersejarah ini. 

Catat Ulasan

0 Ulasan