KONSERT CIPTA DATO' M NASIR PUKAU 8,000 PENONTON

Konsert Cipta Dato' M Nasir yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil berjaya memukau hampir 8,000 penonton, malam Sabtu.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu berakhir sekitar jam 12.30 malam  juga turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. 

Lebih bermakna, M.Nasir, 66, juga mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-77 buat Anwar dengan menghadiahkan pulut kuning pada konsertnya itu.

"Saya nak hadiahkan lagu pada seseorang iaitu Perdana Menteri. Tapi saya tak hadiahkan kek tapi pulut kuning,"katanya.

M Nasir juga menyanyikan lagu 'Allah Selamatkan Kamu' buat Anwar dan disambut dengan sorakan penonton.

Pada konsert yang bermula jam 9 malam itu, M Nasir menghiburkan penonton dengan rangkaian lebih 20 buah lagu ciptaannya termasuk secara medley dengan iringan barisan pemuzik dan penyanyi latar.

Bukan sahaja membawakan rangkaian lagu dari album solo miliknya, M Nasir mbenghiburkan ribuan penonton dengan lagu-lagu ciptaan magisnya untuk kumpulan Search, Alleycats, Awie, Seha, BPR, Kristal, Def Gab C dan Rahim Maarof. 


Konsert anjuran Icon Entertainment itu bersempena 45 tahun pembabitan maestro muzik terkenal itu dalam dunia seni tanah air.

Sumber berita dipetik sepenuhnya dari Harian Metro 
Gambar oleh: Bangsawan Pictures

Catat Ulasan

0 Ulasan