FFM33: LEBIH 100 BUAH FILEM LAYAK DIPERTANDINGKAN

Dalam kerancakan sinema Malaysia menerbitkan pelbagai jenis genre filem merangkumi seram, komedi, drama, cinta dan sebagainya, Festival Filem Malaysia yang memasuki fasa ke 33 tahun penganjurannya bakal melabuhkan tirainya. 

Festival yang julung kali diadakan setiap setahun atau dua tahun itu merupakan detik dan minggu bersejarah buat semua pembikin filem tempatan termasuk belakang tabir, para pelakon dan tenaga produksi keseluruhannya. 

Lebih 100 buah filem yang layak bertanding pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) kali ini bukti nyata kepada perkembangan pesat industri perfileman negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Justeru, katanya, FFM33 bukan saja bertujuan untuk menghargai karya seni dan kreativiti dalam industri perfileman negara, tetapi juga untuk mengukuhkan peranan industri filem dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pertumbuhan industri ini, bukan saja sebagai sektor ekonomi yang dinamik tetapi juga sebagai alat untuk memperkukuh identiti dan budaya kebangsaan. 

“Seperti festival filem di negara lain, ia bukan saja menjadi platform untuk meraikan sinema tetapi juga sebagai medan utama dalam mempromosikan industri perfileman dan menarik pelaburan yang lebih besar ke dalam sektor kreatif negara,” katanya.

Teo ditemui pada sidang media pertama FFM33 di Studio Digital Mix Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Kelang, Ampang, pada petang Selasa. 

Filem yang layak dipertandingkan pada FFM33 adalah naskhah yang diterbitkan bermula 1 Oktober 2022 hingga 30 Jun tahun ini. Untuk rekod, ini, sebelum ini tiada penganjuran Festival Filem Malaysia selama setahun. Tempoh penyertaan edisi kali ini dibuka bermula hari ini hingga 6 September depan.

Pada masa sama Teo berkata, Kementerian Komunikasi melalui Finas telah merangka pelbagai dasar dan polisi yang bertujuan untuk memperkukuh industri perfileman negara antaranya melalui sokongan kewangan melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), yang sekali gus berjaya menarik pelaburan asing yang signifikan ke dalam negara.

Katanya, pelaksanaan FIMI terus memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan asing dan merancakkan aktiviti penggambaran filem di negara ini di mana bermula 2013 hingga 2023, pelaburan asing dan domestik bernilai RM2.4 bilion telah menghasilkan 22,820 peluang pekerjaan.

“Sebagai sektor yang mencipta peluang pekerjaan dan membuka ruang kepada inovasi, industri perfileman telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Penggambaran filem dan produksi kandungan kreatif bukan saja meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan sokongan seperti teknologi, logistik dan pelancongan tetapi juga mewujudkan rantaian nilai yang menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Selain itu, menurut Teo, prestasi kutipan box-office filem tempatan juga menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, pada 2023, sebanyak 56 buah filem tempatan telah mencatatkan kutipan box office keseluruhan sebanyak RM98.8 juta.

“Menariknya, pada 2024 (hingga Mei) kutipan box office telah mencapai RM87 juta daripada 26 buah filem, yang hampir menyamai jumlah keseluruhan tahun sebelumnya.

“Kerajaan juga telah memberikan sokongan berterusan melalui Dana Kandungan Digital. Sejak mula dilaksanakan pada 2017 hingga 2023, sebanyak RM240 juta telah diperuntukkan dan mewujudkan sejumlah 27,670 peluang pekerjaan.

“Dana ini bertujuan untuk memacu penghasilan kandungan digital yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Dato' Azmir Saifuddin Mutalib berkata, acara FFM33 akan mempertandingkan 30 anugerah yang merangkumi pelbagai kategori.

Katanya, Finas juga turut mengembalikan semula kategori Anugerah Dokumentari Terbaik.

“Ini merupakan langkah kerajaan menghargai dan memartabatkan pelbagai genre dan bentuk karya dalam industri perfileman dan memperkayakan spektrum sinema Malaysia,” katanya.

Malam Anugerah FFM33 akan berlangsung pada 7 Disember 2024 di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media dengan tema "Emas" yang melambangkan evolusi dan kejayaan sinema Malaysia. 

Sumber berita dipetik sepenuhnya dari Malaysiakini dan sedikit perubahan dari Wajib Tonton.
Gambar: FINAS Malaysia

Catat Ulasan

0 Ulasan