Penyanyi lagenda era 70an dan 80an, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam tadi di sebuah pusat perubatan swasta di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Allahyarham berusia 67 tahun. Berita dukacita itu disahkan oleh penyanyi Hattan selepas menghubungi isteri arwah.
“Innalillahiwainnailaihirojiun, Mohd Fauzi Haji Darus (Jay Jay) telah kembali menemui penciptanya. Moga Almarhum ditempatkan di kalangan ahli syurgaNya,” tulis Hattan di Facebook.
Dalam perkembangan berkaitan, pelakon veteran Fauziah Ahmad Daud turut berkongsi pemergian penyanyi itu.
Sementara itu, Persatuan Seniman memaklumkan Jay Jay meninggal dunia akibat berdepan beberapa kegagalan organ dalaman.
Bekas penyanyi dan pemain bass kumpulan Carefree itu menjalani pembedahan pintasan jantung pada Mei lalu dan kesihatannya kemudian mulai merudum.
Jay Jay yang juga popular dengan lagu Rindu Bayangan itu tidak boleh menggerakkan tangan dan kaki kanannya seperti biasa selepas menjalani prosedur tersebut.
Allahyarham pernah memenangi beberapa anugerah seperti Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) 1988, Vokal Terbaik Lelaki Anugerah Industri Muzik 1998 dan Juara Kategori Pop Rock pada Juara Lagu 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.
Untuk rekod, Jay Jay mula menyanyi bersama kumpulan Carefree pada 1979 dan muncul solo sejak 1984.
Jenazah akan disolatkan sekitar jam 9.30 pagi dan akan dibawa ke tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang PJS 5 untuk disemadikan kira-kira jam 10.30 pagi.
Berita dipetik sepenuhnya dari Malaysia Kini
0 Ulasan