REMY ISHAK TERIMA GELARAN 'DATUK'

Pelakon Remy Ishak dan Ashraf Muslim antara penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hari ini.

Remy atau nama sebenarnya Mohamad Zalimei Ishak menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk manakala Mohd Ashraf Muslim menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T).

Remy ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak menyangka terpilih menerima anugerah pada hari ini yang disifatkannya sangat bermakna sepanjang karier bergelar anak seni sejak kira-kira 20 tahun lepas.

“Memang tak pernah bermimpikan pun sebenarnya (untuk menerima gelaran Datuk)… mencari gelaran itu tidak, tapi diberikan hadiah kepada saya.

“Ia memberi satu suntikan semangat kepada saya untuk lebih berjaya pada masa akan datang sekaligus memberi galakan kepada anak-anak muda di negeri ini untuk mengejar cita-cita mereka,” katanya.

Remy yang terkenal dengan beberapa watak penting dalam drama dan filem tanah air merupakan pelakon kelahiran negeri Melaka yang pertama kali disunting pengarah Amy Ikram untuk sebuah filem pendek bertajuk Comolot pada tahun 2007 sebelum melibatkan secara serius sebagai pelakon filem. Osman Ali adalah pengarah filem cereka pertama yang mengambil Remy sebagai pelakon. 

Sementara itu Ashraf berkata menerima B.K.T merupakan satu ganjaran besar buat dirinya semenjak menceburkan diri dalam dunia seni kira-kira 20 tahun dahulu.

“Ia boleh juga menjadi pemangkin kepada artis-artis di luar sana untuk lebih aktif bagi mendapat pengiktirafan sebegini rupa,” katanya.

Sumber berita dipetik sepenuhnya dari Malaysiakini 

Catat Ulasan

0 Ulasan