Seorang artis yang versatil, Achey bukan sahaja dikenali sebagai seorang pelawak, pelakon dan pengacara tapi bakat beliau sebagai seorang penyanyi dan penulis lagu turut terserlah. Lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya sebelum ini seperti “Sakit” (45 juta tontonan di YouTube) dan “Yang Terindah” (35 juta tontonan di YouTube) mendapat sambutan hebat pendengar.
Sementara itu, Tantari atau nama sebenar Naufal Zahirul Azahael Mohd Alfian adalah penyanyi kanak-kanak berusia 7 tahun yang mencipta fenomena menerusi single sulung beliau berjudul “Rindu Hatiku Rindu” yang menduduki tangga #1 Trending untuk muzik di YouTube selama 20 hari berturut-turut dan meraih lebih daripada 8 juta tontonan.
Kerjasama antara kedua-dua artis ini bukan sahaja menggabungkan bakat istimewa mereka tetapi juga menghasilkan satu karya muzik yang luarbiasa.
Single “Biar” ditulis sepenuhnya oleh Achey sendiri sama seperti semua lagu-lagu hitnya sebelum ini.
Achey, 38, atau nama sebenar Mohd Nasir Hamzah berkata, single duet pertama dengan Tantari ini mengisahkan mengenai seorang lelaki yang sentiasa berusaha untuk mencapai kesempurnaan dalam hubungannya tetapi hakikatnya, tiada apa yang sempurna dalam hidup ini.
“Menerusi lagu ini, saya dan Tantari cuba menyampaikan pesanan bahawa walaupun kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan, kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan adalah sebahagian daripada kehidupan kita.
“Melalui lirik-lirik yang mendalam, lagu ini merangkumi aspek kehidupan yang kompleks di mana kesempurnaan bukanlah matlamat yang realistik.
“Saya mahu melalui lagu ini menyokong fahaman bahawa setiap kelemahan dan kekurangan dalam hubungan, sebenarnya, membawa kita lebih dekat kepada pemahaman tentang kebahagiaan yang sejati,” katanya.
Lagu “Biar” adalah sebuah lagu yang memaparkan tema perpisahan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup. Dengan lirik yang mendalam dan melodi yang menyentuh hati, tidak hairanlah lagu ini mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan dalam sekelip mata.
Vokal Achey yang penuh emosi dan gaya nyanyian Tantari yang unik digabungkan dengan sempurna, menjadikan lagu “Biar” sebuah karya yang penuh makna.
Sementara itu, Tantari berkata kerjasama ini amat bermakna bagi beliau kerana dapat berkolaborasi dengan seorang penyanyi dan penulis lagu ternama walaupun baru setahun jagung terlibat dalam industri muzik tempatan.
“Tantari seronok dapat jemputan daripada abang Achey untuk menyanyi bersama dalam sebuah lagu. Ramai orang kenal dengan abang Achey. Ramai juga kata yang abang Achey adalah Tantari bila dah besar nanti”, katanya berseloroh.
Dia juga berterima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan kerjaya dia dalam industri muzik tempatan setakat ini.
“Segala sokongan yang diterima daripada peminat memberi Tantari semangat untuk buat yang terbaik dalam setiap persembahan. Saya banyak belajar daripada abah bagaimana untuk buat persembahan pentas sebab abah juga selalu buat persembahan dalam majlis-majlis kahwin”, katanya.
“Saya harap abah dan mak bangga dengan kejayaan Tantari sebagai seorang penyanyi dan saya juga akan ikut nasihat abah untuk belajar baik-baik di sekolah untuk dapat markah tinggi dalam peperiksaan”, ujarnya mengakhiri kata.
Single “Biar” terbitan bersama Nova Music dan Seventeen Eleven Music kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik yang ada di Malaysia. Muzik video rasmi “Biar” juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music di pautan ini
0 Ulasan