Berbaki hampir 11 hari menanti debaran, penyanyi Afgan dan Lyodra dari Indonesia bakal menghiburkan peminat di Malaysia menerusi Konsert Ada Afgan & Lyodra Live In Kuala Lumpur.
Konsert gabungan dua penyanyi terkenal dari seberang itu bakal melabuhkan tirainya pada 28 September 2024, Sabtu jam 8.30 malam di Megastar Arena, Kuala Lumpur. Konsert yang bertemakan cinta dan kasih sayang itu bakal menghidangkan lebih 20 buah lagu popular mereka. Menariknya, 12 pemuzik professional yang diterbangkan khas dari Indonesia akan mengiringi persembahan Afgan & Lyodra menjadikan konsert berdurasi hampir 3 jam itu tentunya mencipta kenangan dan magisnya tersendiri.
En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music ketika ditemui media berkata, sebagai penggemar muzik, mereka tertarik untuk menampilkan dua figura tersohor Indonesia kerana genre muzik dan kuasa pendengar yang dimiliki Afgan mampu menarik pendengar dan penonton untuk sama-sama menikmati sebuah persembahan penuh bersejarah.
"Penonton konsert berpeluang menikmati susunan muzik yang digubah khas oleh Afgan dan Lyodra di mana kombinasi mereka berdua belum pernah didengarkan di mana-mana acara sebelum ini.
"Banyak kejutan yang kita akan tampilkan. Untuk merasai pengalaman luar biasa ini, anda kena datang menonton konsert ini. Bagi Kharisma, selaku penganjur, kami berpegang kepada prinsip iaitu muzik dan penonton saling berkaitan. Justeru, kami merasakan malam 28 September nanti bakal mencipta memori dan kenangan kita bersama. Rasailah ia dengan sejujur hati tentunya jodoh kita pasti bertemu," katanya.
Konsert Ada Afgan & Lyodra Live in Kuala Lumpur dibawakan khas oleh Kharisma Music dengan kerjasama Alha Alfa dengan Intan Gelombang dan Futurace ini sudahpun dijual tiketnya sejak 10 Julai lalu.
Ketika tinjauan wajib tonton di laman ticket2U, mendapati jualan tiket bagi menyaksikan konsert Ada Afgan & Lyodra masih berbaki sedikit sahaja lagi. Bagi peminat muzik, jangan lepaskan peluang untuk datang menonton konsert ini kerana ia menjanjikan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan.
Afgansyah Reza atau Afgan, 35, yang ditemui di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini menyifatkan Malaysia sebagai rumah keduanya memandangkan beliau beberapa kali mengadakan persembahan di sini dan menganggap malam 28 September depan sebagai hari penuh istimewanya.
"Saya berterima kasih dan amat menghargai semua kerana masih meminati Afgan. Sejujurnya 'Ada Afgan & Lyodra' adalah kombinasi kami berdua untuk menghiburkan kalian. Tentunya saya cukup teruja apabila dimaklumkan Kharisma Music, saya akan kembali di sini 28 September ini untuk bersama-sama kalian.
"Thank You for bringing us for this concert. Afgan still love you forever and don't forget to singing with me on the date!," katanya berharap konsert tersebut bakal merakamkan sejuta kenangan dan memori sepanjang 16 tahun dalam industri seni dan muzik nusantara.
Konsert Ada Afgan & Lyodra Live in Kuala Lumpur bakal menemui anda di Megastar Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, 28 September depan!.
Gambar: Iddean Abdul R, Jakarta.
0 Ulasan