GENERASI DFP BAKAL LAHIRKAN PELAPIS INDUSTRI MUZIK TANAH AIR

Susulan dari kejayaan konsert pertama yang dipentaskan sekitar bulan Julai yang lalu, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) mengorak langkah seterusnya untuk menganjurkan edisi keduanya. 

'Generasi DFP' yang menggabungkan 5 persembahan eksklusif melalui 4 penyanyi solo dan satu kumpulan ini memilih 25 September depan sebagai detik penuh bersejarah. Menampilkan Amrita Soon, Dekwa Cuwa, Ruebben Chelvan, Saiko-Rama dan kumpulan Cherry On Top, konsert yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC itu menjanjikan persembahan yang menarik sekaligus mewarnai industri muzik tanah air. 

Menurut rekod, bakat muda yang mempunyai potensi cemerlang dalam industri muzik tanah air ini, Amrita Soon yang dilahirkan di Seremban ialah seorang penyanyi dan pencipta lagu yang telah dianugerahkan Breakthrough YouTube Star di anugerah Digi. Beliau meraih perhatian apabila menulis lagu tema untuk filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza.  Beliau pernah membuat persembahan di USA, China dan Jepun.

Manakala Ruebben Chelvan ialah penyanyi/penulis lagu yang pernah melahirkan EP perdana bertajuk Live A Little dan single Like Nobody Else dan Tell Me Softly sekaligus menyerlahkan evolusinya sebagai seorang artis. Beliau telah membuat persembahan serata KualaLumpur dan USA.

Dekwa Cuwa yang mendapat perhatian ramai apabila memuat naik video nyanyian semula bersama abangnya di saluran YouTube dan pernah membuat persembahan di TV ini  melahirkan single Sembunyi Hati, Trauma dan Kala Sang Suria Tenggelam.

Kumpulan muzik remaja popular yang dianggotai 6 orang anak muda, Cherry On Top juga bakal membuat persembahan dalam konsert ini. Menariknya, mereka antara kumpulan rock yang aktif dalam lapangan muzik tanah air menerusi penghasilan  lima lagu dengan single utama Ketagih menampilkan duet bersama Datuk Syafinaz Selamat. 

Saiko-Rama yang berasal dari utara Malaysia ditubuhkan pada tahun 2019 dan dianggotai lima pemuzik. Proses rakaman album EP perdana mereka dilakukan ketika era pandemik. Semua lagu termasuk Sekali Lagi dan Aku memberikan ahli kumpulan ini satu kepuasan dan keyakinan untuk terus melangkah dalam industri muzik tempatan.

Yamani Abdillah yang merupakan gitaris kumpulan Cherry On Top  ketika ditemui media di KLCC menyifatkan Generasi DFP sebagai momen bersejarah untuk pemuzik dan artis baharu sepertinya untuk mengembangkan bakat bagi menarik potensi dirinya untuk lebih dikenali. 

Yamani yang juga anak kepada legenda muzik tanah air, Dato' Jamal Abdillah berkongsi bahawa, sebagai artis beliau tidak mahu menumpang populariti bapanya malahan mahu bergerak sendiri tanpa bayangan penyanyi legenda tersohor tersebut.

Sebagai jurucakap kepada kumpulan Cherry On Top, Yamani menegaskan untuk persembahan pada malam 25 September depan, mereka akan menampilkan sesuatu yang istimewa buat penonton yang hadir, malahan berjanji bahawa konsert Generasi DFP itu bakal meninggalkan memori tersendiri bukan sahaja kepada mereka malahan buat penonton yang hadir. 

Generasi DFP ialah sebuah testimoni komitmen DFP dalam melestarikan komuniti muzik yang meriah dan menjadi pentas untuk bakat seni artis tanahair terus bersinar. Semarakkan irama serta hayati alunan seni melalui gesekan muzik, vokal dan irama, tentunya meninggalkan sejarah yang akan dikenang zaman berzaman dan menjadi pelapis industri muzik tanah air. 

Kredit Gambar: DFP

Catat Ulasan

0 Ulasan