KELUANG MAN & KAHAR KAPLA HIGH COUNCIL SERTAI PERARAKAN HARI KEBANGSAAN

Buat pertama kali dalam sejarah, dua karakter dari karya hiburan popular Malaysia iaitu Keluang Man dan Kahar dari siri fenomena Project High Council membuat penampilan istimewa dalam acara Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67 dengan mengikuti perarakan Hari Kebangsaan.

Ini menyaksikan penampilan pertama watak Keluang Man lakonan Nas Muammar Zar untuk tatapan umum dengan sut rasmi di depan khalayak ramai, di samping Amir Ahnaf yang sinonim dengan karakter Kahar. Amir turut ditemani watak-watak lain dari filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi iaitu Kahar: Kapla High Council

Aedy Ashraf yang memegang watak Beja, Sky Iskandar (Megat), Thompson Goh (Li), Khenobu (Jojo), Fazziq Muqris (Zahrin) dan Fadhli Masoot (Hakeem) ini turut menyertai perarakan Hari Kebangsaan dengan berada di atas bas KL Hop-On Hop-Off yang memaparkan karakter Keluang Man dan watak-watak dari Kahar: Kapla High Council di badan bas tersebut. 

Selain para pelakon, turut bersama di atas bas tersebut ialah 10 pemenang bertuah peraduan Lesen High Council dari gempak.com di samping barisan tertinggi Astro Shaw dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta penggiat industri kreatif tanah air,

Raja Jastina Raja Arshad yang merupakan Ketua Astro Shaw berkata, ini adalah permulaan pertama mereka untuk berada di khalayak ramai dalam sejarah negara bagi penyertaan industri kreatif melalui filem. Menurutnya lagi, sebagai pemain industri, Astro Shaw berbesar hati menyertai perarakan tersebut bersama-sama bagi merakamkan detik manis yang akan terpahat dalam sejarah negara untuk rujukan generasi akan datang.

"Ini merupakan satu langkah bersejarah bagi Astro Shaw apabila berpeluang menyertai salah satu acara terbesar negara buat pertama kali. Kami bawakan filem terbitan Astro Shaw iaitu Keluang Man dan Kahar: Kapla High Council menyertai perarakan ini. Usaha ini adalah lambang sokongan kepada industri kreatif tempatan, sekaligus memeriahkan sambutan Hari Merdeka. Harapan kami dengan kemunculan individu-individu ini dapat membawa semangat baharu kepada sambutan Hari Kebangsaan, di samping merapatkan lagi hubungan di antara seni, hiburan dan masyarakat," katanya.

Selepas tamat sesi perarakan, barisan pelakon meluangkan masa untuk bertemu peminat di ‘booth’ Astro Shaw yang berada di lokasi berhampiran.  Filem Keluang Man dan Kahar; Kapla High Council bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula tahun hadapan.


Catat Ulasan

0 Ulasan