'NIGHT OF LOVE & COMPASSION' USAHA TMESA KUMPUL DANA BANTU PELAJAR SUSAH

 

Demi mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar kurang bernasib baik, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut Terengganu (TMESA) berbesar hati untuk menganjurkan acara  makan malam amal yang diberi nama ‘Night Of Love & Compassion’.
 
Acara ini bakal menggabungkan dua penyanyi lagenda tanah air iaitu Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah yang sudah tentunya menjanjikan persembahan penuh jiwa menerusi rangkaian lagu-lagu mereka yang malar segar sehingga hari ini.
 
Night Of Love & Compassion bakal berlangsung pada 14 Disember 2024 ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.


Menurut Presiden TMESA, Dato’ Muhammad Nasir Hamzah, persatuan ini amat mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar susah terutamanya di sekitar Besut.
 
“Setiap tahun, kita adakan pelbagai aktiviti demi kesinambungan persatuan kerana asasnya adalah untuk membantu anak-anak di sekolah sekitar Besut khususnya Sekolah Tengku Mahmud.
 
“Sepanjang dua dekad ini, dengan keringat ahli-ahli pencen ini sahaja, sudah tentu kami kekurangan modal. Hasil perbincangan dengan ahli jawatan kuasa, timbul idea untuk mengadakan acara Night Of Love & Compassion’,” katanya.
 
Dato’ Muhammad Nasir berkata, TMESA juga mahu meneruskan program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang kini telah membantu lebih 1000 pelajar yang rata-ratanya daripada kalanhan keluarga daif.

 
“Program utama dan terbesar kami adalah ‘Sponsor A Student’. Ia sudah berlangsung selama 16 tahun dan telah mambantu lebih 1000 pelajar-pelajar miskin.
 
“Kami temu duga sendiri pelajar-pelajar ini. Ada yang hanya makan nasi tiga kali seminggu. Mereka sangat daif tatapi minat untuk belajar. Ada yang ingin menjadi doktor, peguam, guru dan ustaz.
 
“Jika acara makan malam ini berjaya, kami menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM1 juta. Ia juga akan digunakan untuk membantu
menambah baik kemudahan-kemudahan di sekolah,” katanya.
 
Sementara itu, raja pop tanah air, Datuk Jamal Abdillah akui teruja kerana dapat terlibat di dalam program amal ini seterusnya menyumbang bakti agar pelajar-pelajar ini tidak tercicir dalam pelajaran.

 
“Saya bersyukur kerana bakat kecil yang dikurniakan Tuhan ini dapat saya gunakan untuk mengumpul dana dan membantu orang-orang susah terutamanya pelajar sekolah.
 
“Diharapkan dengan suara saya ini dapat manarik minat orang ramai untuk turut sama membantu usaha ini,” katanya.
 
Pada masa sama, penyanyi terkenal Datuk Hattan sentiasa menyokong penuh usaha amal seperti ini sejak mula berkecimpung di dalam dunia seni.
 
“Saya berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada program ini. Ini bukan kali pertama saya terlibat dalam program amal untuk membantu murid sekolah.
 
“Sejak dahulu, saya telah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak menolak jika ada undangan daripada pihak-pihak sekolah. Saya faham kerana saya juga pernah susah,” katanya.
 
Pada acara Night Of Love & Compassion ini, sebanyak 98 meja bakal dijual bermula pada harga;
 
* Bronze - RM4,000 sebanyak 20 meja
* Silver - RM6,000 sebanyak 20 meja
* Gold - RM8,000 sebanyak 16 Meja
* Diamond - RM10,000 sebanyak 16 Meja
* Platinum - RM15,000 sebanyak 16 meja
 
Tempahan dan pembelian meja serta pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi nombor tertera;
 
EN. HATTA : 018 223 9934
EN. NIK AHMAD: 019 452 4567
 
Tengku Mahmud Ex-Student Association
 
Tengku Mahmud Ex-Student Association (TMESA) telah ditubuhkan pada 2003.
Objektif utama penubuhan TMESA adalah untuk menjalin hubungan serta mengeratkan silaturrahim alumninya.
 
Aktiviti amal dan kebajikan TMESA memberi tumpuan khusus kepada bidang pendidikan. TMESA percaya pelajaranlah yang boleh membantu mempertingkatkan kedudukan sosio-ekonomi seseorang ke tahap yang lebih baik.
 

Catat Ulasan

0 Ulasan