AKON THE SUPERFAN TOUR DI MALAYSIA DAN SINGAPURA


Penyanyi dan pelakon terkenal, Harris Baba yang pernah mencuri perhatian dalam industri hiburan Malaysia, kini menempa nama dalam bidang penganjuran acara dan konsert.

Menariknya, acara yang dianjurkan berfokus kepada memberikan pengalaman hiburan dan program yang premium, dengan menampilkan barisan artis yang berbakat serta produksi yang bertaraf antarabangsa.

Selepas berjaya menganjurkan lima acara utama di Sabah antaranya Borneo Mega Raya Fest 2023, Mari Makan Minum 2023 dan Borneo Mega Raya Fest 2024, serta dua konsert dalam satu bulan, iaitu Armada Band dan kumpulan Ungu dari Indonesia, Harris menerusi syarikatnya Jeeharris Entertainment membawakan bintang antarabangsa dari Amerika Syarikat, Akon menerusi Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore pada November depan.

Akon The Superfan Tour in Malaysia bakal berlangsung pada 19 November 2024 di Mega Star Arena Kuala Lumpur dan Akon The Superfan Tour in Singapore pada 20 November 2024 bertempat di Arena @ Expo Hall 7 Singapore.

Lebih membanggakan juga apabila Jeeharris Entertainment menjadi satu-satunya penganjur yang membawa persembahan Akon di dua negara.

“Sebenarnya, perancangan untuk membawa Akon sejak Disember tahun lalu dan membawa ke awal tahun ini. Jadi, ia mengambil masa tujuh hingga lapan bulan untuk memuktamadkan dengan ejen tempahan saya dan pengurusan Akon. Terdapat begitu banyak perubahan dari segi jadual persembahan hingga akhirnya memutuskan pada November. Alhamdulillah, ini adalah satu kejutan yang besar dan benar-benar, rezeki saya.

“Paling unik mengenai konsert Akon ini adalah saya satu-satunya penganjur yang melakukannya di dua negara dalam masa sebulan. Sebelum di Malaysia dan Singapura, difahamkan dia akan membuat persembahan di beberapa negara Asia yang lain. Jadi, ia adalah sangat istimewa untuk syarikat saya yang bermula di Sabah, bukan di Kuala Lumpur.

“Malah, artis antarabangsa pertama syarikat saya juga adalah Akon. Ini benar-benar nikmat yang besar, alhamdulillah. Kalau ditanya apakah yang mendorong saya untuk menganjurkan konsert Akon di Kuala Lumpur dan Singapura, bagi saya ia benar-benar rezeki dan sudah tentu dengan pasukan saya dan rakan kongsi yang mana kami sudah bekerja keras selama tujuh hingga lapan bulan terakhir ini. Kami sangat menantikan detik-detik ini nanti,” katanya.

Tambahnya lagi Akon merupakan seorang penyanyi yang unik dan mempunyai kekuatan yang tersendiri serta mempunyai peminatnya yang besar di Malaysia dan Singapura. Rangkaian lagu-lagunya telah lama menjadi popular dicarta billboard antaranya  'Lonely' , 'Sexy Chick' , 'Smack That' , 'Right Now' , 'I Wanna Love You' , 'Dont Matter' dan banyak lagi. Sehingga ke hari ini lagu-lagunya masih diputarkan dan pasti peminatnya tidak sabar menonton di pentas berskala besar. 


Menurutnya, pengalaman sepanjang menganjurkan pelbagai acara dan dua konsert di Sabah selain kerjasama daripada semua pasukan digunakan sebaiknya dalam menjayakan Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore

“Pengajuran konsert Armada Band dan Ungu bagi saya masih sebuah konsert yang sangat besar bagi saya kerana ini kali pertama saya melakukannya. Tapi, alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Jadi, ini sahaja pengalaman yang saya pernah ada selaku penganjur konsert. Dan untuk saya berkembang dan maju ke hadapan, maka ia adalah sesuatu yang baru yang perlu saya pelajari.

“Itulah sebabnya mengadakan acara dan konsert bukanlah atas bahu saya seorang. Sebaliknya, kerja berpasukan yang betul dan kukuh. Jadi, dari pengalaman lepas sekarang kita naikkan skala dan buat pula artis ‘A Listers’ dari Amerika,” katanya.

Selain itu, menurut Harris penganjuran konsert Akon turut mendapat kerjasama daripada stesen radio dan portal hiburan tempatan.

"Kami juga mendapat kerjasama dari pihak Astro Radio yang mana radio Era, Hits, Sinar Mix dan Raaga menjadi rakan media rasmi selain portal Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi,”  katanya.

Harris juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penaja dan rakan strategik yang turut membantu menjayakan konsert ini. Mereka adalah ‘El Car Rental dan Motivated Outreach yang menjadi pengangkutan rasmi dan logistik di Malaysia dan Singapura buat penyanyi itu. Konsert ini juga mendapat sokongan dari Munchies yang akan menaja sajian sewaktu konsert di Malaysia.


Dalam perkembangan lain, Harris berkata dia merancang untuk membawa dan menganjurkan lebih banyak konsert hebat artis ternama di Singpura dan Malaysia.

“Setakat ini, satu-satunya artis antarabangsa yang saya bawa ialah Akon. Artis lain yang saya sudah berhubung dengan pihak pengurusan mereka dan saya akan menjanjikan senarai artis antarabangsa terbaik yang akan mengadakan persembahan sehingga tahun 2025. Saya pasti peminat di Malaysia dan Singapura tidak sabar menantikan senarai artis antarabangsa yang akan kami bawa.  

“Saya juga sudah pun merancang yang mana sepanjang tahun depan, insya-Allah berharap semuanya berjalan seperti yang dirancang dan kami boleh membawa masuk ramai lagi artis ke Singapura dan Kuala Lumpur,” katanya.

Penjualan tiket untuk menyaksikan konsert Akon di kedua-dua lokasi mula dibuka secara pra jualan bermula 18 September bagi pra pendaftaran, 19 pra pendaftaran jualan dan 20  September untuk jualan keseluruhan.

Tiket bagi Akon Live in Malaysia boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com dan Akon Live in Singapore di www.sistic.com.sg 






Catat Ulasan

0 Ulasan