PESTA FILEM KOTA BHARU KEMBALI KALI KEDUA!

Pesta Filem Kota Bharu (PFKB) yang julung kalinya diadakan tahun lalu, kini kembali untuk kali kedua pada 13 hingga 16 Sept di Dewan Persatuan Hokkien Kelantan.

Tetap terbuka kepada semua dan tanpa pendaftaran atau bayaran, PFKB kali ini hadir dengan pengisian yang lebih banyak berbanding tahun lalu.

Berlangsung selama empat hari, program berkenaan menampilkan dua filem panjang, 21 filem pendek dari dua negara, tiga forum, satu bengkel, serta satu aktiviti luar.

PFKB membuka tirai dengan majlis pembukaan pada 13 Sept diikuti slot Panorama Kelantan pada malamnya yang menampilkan empat filem pendek berkaitan Kelantan iaitu Ggesek, Bee Man, The Legend dan Watermelon.

Ia kemudian akan disusuli dengan sesi soal jawab bersama para pengarah.

Pada pagi 14 Sept, Kuman Pictures Challenge kembali dengan edisi kelima yang bertemakan tembikai.

Meneruskan tradisi yang dimulakan tahun lalu, 10 filem pendekterbaik ditayangkan, diikuti sesi soal jawab bersama pengarah dan wakil filem, serta pengumuman pemenang terbaik yang akan membawa pulang wang tunai RM1,500.

Petang itu, PFKB mendatangkan slot Fokus Jambi dengan menayangkan tiga filem pendek dari Jambi, Indonesia iaitu Langit Tak Berujung, Mendayung Harapan dan Batanghari Tak Pernah Ingkar Janji.

Selesai tayangan sesi soal jawab dibuka untuk peserta berinteraksi bersama penggiat filem Jambi dan kurator bagi slot tersebut, Husni Turion, serta pengarah Mendayung Harapan, Yusril Mahendra.

Filem pendek dari bengkel

Program itu diteruskan dengan Jejak Panggung KB iaitu aktiviti luar yang membawa peserta meninjau beberapa tapak pawagam yang pernah berdiri di Kota Bharu pada suatu ketika dulu.

Kunjungan ke tapak-tapak tersebut dilakukan secara santai dan berjalan.

Keudian pada sebelah malam, PFKB membawakan tayangan perdana sedunia filem psiko-thrillerTafakur, diikuti dengan sesi soal jawab bersama pengarah filem, Feisal Azizuddin, produser dan pelakon utama filem berkenana, Sasqia Dahuri.

Pada 15 Sept acara dimulakan sedikit lewat iaitu pada sebelah petang dengan slot Fokus Aceh yang menampilkan empat filem pendek dari Aceh iaitu Tanpa Batas Waktu, Suloh, Woe Gampong dan Gelombang Sinema Ujung Sumatera.

Tayangan itu diikuti dengan sesi soal jawab bersama Akbar Rafsanjani, kurator bagi slot berkenaan yang kembali ke PFKB selepas menjadi salah seorang ahli panel forum PFKB edisi pertama.

Pada malamnya, forum Kecek Kiro: Kebangkitan Sinema Sabah pula membincangkan peningkatan bilangan filem yang dihasilkan di Sabah sejak tahun-tahun kebelakangan ini, serta cuba merungkai faktor-faktornya dan kemungkinan berlakunya era kebangkitan semula industri berkenaan di sana.

Forum itu menampilkan Timothy Stephen, pengarah Sinakagon dan Terence Blantocas, penolong pengarah Sinakagon sebagai ahli panel.

Pada 16 Sept, forum Kecek Kiro: Pengalaman Sinema Dari Sumatera ke Sabah pula memulakan hari terakhir PFKB.

Forum itu membincangkan pelbagai aspek kegiatan seni filem merangkumi tayangan dan apresiasi filem di peringkat komuniti hingga ke penghasilan filem dan industri di pelbagai daerah di Nusantara.

Forum berkenaan dibarisi ahli panel seperti pengarah program Aceh Film Festival, Akbar Rafsanjani, penerbit dan penggiat filem Husni Turion, serta pengarah filem Sabah, Timothy Stephen.

Pada tengah hari, sesi bual santai Kecek Pascabengkel diadakan sebagai penutup kepada Bengkel Bikin Filpen yang dijalankan sepanjang PFKB berlangsung.

Tayangan filem pendek hasil daripada bengkel ditayangkan, diikuti perbincangan bersama mentor bengkel, iaitu Razaisyam Rashid, seorang pengarah kelahiran Kelantan, serta peserta bengkel.

Akhir sekali, petang terakhir PFKB membawakan tayangan perdana Malaysia, Fire On Water, filem kedua arahan Sun-J Perumal yang pernah menempa nama dengan filem Jagat sebelum ini.

Tayangan diikuti oleh sesi soal jawab bersama wakil Fire on Water, Lena Srinivasan dan Gogularaajan Rajendran, yang merupakan penolong pengarah filem tersebut. Majlis penutup ringkas dan sesi bergambar akhirnya menutup tirai kali ini

PFKB 2024 dianjurkan hasil usahasama Kuman Pictures, Persatuan Hokkien Kelantan, Kolektif Rumah Kosong, Kedai Hitam Putih, dan Studio T2BD.

PFKB 2024 dijayakan hasil tajaan oleh Dana Aktiviti Berkaitan Filem daripada Purin Pictures dan geran daripada Da Huang Pictures sebagai penaja utama.

Selain itu, beberapa penaja bersama turut membantu melancarkan acara itu seperti Crown Garden Hotel, Kelantan Match Factory, LifeFresh, dan Far View Art & Graphic.

Sumber berita dipetik sepenuhnya dari Malaysiakini

Catat Ulasan

0 Ulasan