Mengambil pendekatan ke arah pembikinan naskhah seram dengan merujuk kepada filem-filem arahan Mamat Khalid, pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua yang pernah mencetuskan kontroversi menerusi filem pendek 'Chukang' serta banyak mengarahkan beberapa buah drama dan telemovie tempatan, tampil dengan 'Pontianak 200kg' yang bermula tayangannya di pawagam seluruh tanah air hari ini.
Membariskan lakonan dari beberapa pelakon baharu dan lama, Pontianak 200kg adalah kesinambungan dari kejayaan telefilem Pontianak 100kg yang pernah disiarkan di platform penstriman popular, Tonton sehingga mendorong syarikat perfileman terkenal, Primeworks Studios dengan kerjasama Metrowealth International Group (MiG) menerbitkan filem dengan judul tersebut, Pontianak 200kg.
"Bukan mahu mencipta populariti atau mewujudkan perbandingan antara naskhah arahan Mamat Khalid. Pontianak 200kg adalah inspirasi saya yang begitu subjektif terhadap naskhah arahan beliau. Saya peminat setia Allahyarham Mamat Khalid. Tidak salah untuk saya mengambil pendekatan yang sama cuma olahan kami berbeza. Sebagai pengkarya, saya menerima jika ada yang membuat perbandingan karya saya dengan pengarah legenda tersebut," kata Shuhaimi Lua ketika ditemui media selepas tayangan filem Pontianak 200kg di sebuah pawagam terkemuka di Kuala Lumpur.
Ketika ditanya tentang signifikan penggunaan elemen 'pontianak' walaupun agak klise dari segi plot penceritaannya, bagi Shuhaimi, beliau sengaja meletakkan karektor pontianak berbadan gempal bagi mewujudkan perbezaan antara imej asal dengan karektor yang dicetuskan beliau bagi menimbulkan humor di kalangan penonton.
"Jika sebelum ini ramai yang sudah biasa dengan pontianak berbadan fit, namun untuk naskhah Pontianak 200kg ini saya mengolah ia menjadi berat 200kg dari yang asal 100kg kerana elemen yang saya tampilkan ini adalah 'komedi' di mana penampilan Aya Arimuddin amat bersesuaian dengan karektor pontianak yang kita cuba visualkan," katanya.
Aya Arimuddin yang terkenal dengan beberapa konten video viralnya di platform TikTok dan YouTube berjaya memikat penonton menerusi lakonannya sebagai pontianak Melati bersama Dottie di mana filem ini juga menampilkan ZIana Zain sebagai Kemboja.
Filem yang diterbitkan Primeworks bersama MiG ini mengisahkan tentang Kampung Terbalik yang menjadi mangsa serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi yang mencari makanan akibat kelaparan. Keadaan menjadi huru-hara apabila penduduk kampung menyangka mereka adalah pontianak yang menghisap darah hingga menyebabkan ramai penduduk kampung koma.
Pelbagai kejadian pelik dan misteri sekaligus berjaya membongkar siapakah dalang utama di sebalik kehilangan makanan serta kehadiran seorang jururawat misteri bernama Kemboja lakonan Ziana Zain.
Kemunculan Aya Arimuddin dalam filem ini wajar dipuji kerana beliau memberikan komitmen penuh bagi menterjemahkan watak yang dibawanya. Walaupun agak baharu, namun sisi Aya sebagai pelakon dan bintang komedi wajar diberikan peluang.
"Aya berterima kasih kepada pengarah, Shuhaimi Lua dan pihak produksi sudi menawarkan Aya watak ini. Walaupun agak gementar menanti tayangan filem ini kepada penonton, bagi Aya inilah peluang yang wajar Aya sahut untuk membawa diri sebaik mungkin.
"Bekerja bersama Shuhaimi Lua sangat menyeronokkan sebab dia memahami rentak pelakon dan memberikan kebebasan pada Aya untuk membawa watak ini dengan cara Aya. Paling penting Aya kena buktikan juga walaupun Aya dikenali sebagai watak sebegini yang mampu buat penonton ketawa tapi Aya mahu jugak watak yang lain. Mungkin watak serius," katanya.
Selain watak komedi, Aya juga mengimpikan suatu hari nanti beliau diberi peluang oleh mana-mana penerbit untuk membawa watak yang berbeza agar komposisi beliau sebagai pelakon dapat ditonjokkan sekaligus mewarnai industri filem tempatan.
Bagi David Teo, yang merupakan penerbit MiG International Group menyifatkan pemiilihan Shuhaimi Lua sebagai pengarah adalah dibuat berdasarkan potensi beliau sebagai pengarah drama amat baik khususnya bagi cerita komedi seram yang semestinya menjadi tontonan masyarakat sejak zaman berzaman.
"Kerjasama kami dalam menterjemahkan naskhah ini dapat menyajikan hiburan yang berkualiti kepada penonton. Kami berharap pemilihan Aya dan beberapa pelakon lain juga pengarah, Shuhaimi dapat membawa cerita ini dekat dengan penonton sekaligus menjadi filem kegemaran ramai tahun ini," katanya.
Pontianak 200kg membariskan Aya Arimuddin, Dottie, Ropie, Wanss Ahmad, Niezam Zaidi, Malia Baby dan penampilan Ratu Pop Tanah Air, Ziana Zain yang berada di pawagam bermula 5 September 2024.
3/5 Wajib Tonton [perlu ditonton penggemar filem tanah air]
0 Ulasan