'TERNYATA SEBUAH BAHAGIA' TAMPILKAN ZAMARUL & CHE PUAN SARIMAH

'Ternyata Sebuah Bahagia' yang bakal menemui penonton bermula setiap Isnin hingga Jumaat menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104) dan strim menerusi platform On Demand, Astro GO dan sooka bermula jam 6.00 petang merupakan sebuah drama rantaian terbaharu dari Astro.

Dipersembahkan Suhan Movies oleh Astro, drama 40 episod ini memaparkan kisah seorang lelaki yang hampir dijemput ajal, diberi peluang kedua untuk kembali ke pangkal jalan dan kini berhadapan cabaran dalam membimbing keluarganya.

Menghiasi slot Tiara bermula 23 September 2024, 'Ternyata Sebuah Bahagia' adalah sebuah kisah rumahtangga yang sarat dengan pesanan, tentang cabaran seorang lelaki dalam membimbing keluarganya yang sudah tersasar jauh dari landasan agama. Elemen cinta tiga segi dan konflik kekeluargaan menjadi tunjang utama dalam naskhah ini. Turut menghiasi karya ini ialah runut rasmi berjudul “Perisai Cinta” nyanyian Liza Hanim.

Diarahkan Nur Ain Shariff dan Ejump Mohd, drama yang menampilkan lakonan hebat Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai Datin Jeanice, Zamarul Hisham sebagai Datuk Zamani dan juga Datin Elvina Mohamed sebagai Rhea, dimana ia turut menampilkann Dewi Remaja Myra Afrina dan Lorenzo Irmann.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, drama 40 episod ini sarat dengan mesej kemanusiaan menerusi cinta, pengorbanan dan kasih sayang. Sebagai manusia, kita tidak pernah melakukan kesilapan. Menerusi drama ini, kami membawakan kisah kekeluargaan yang begitu dekat dengan norma hidup masyarakat hari ini.

Ternyata Sebuah Bahagia menampilkan barisan pelakon hebat dengan penulisan skrip yang mantap, serta mampu untuk memberi pengajaran dan hiburan pada penonton. Kisah rumah tangga yang digarap baik oleh pengarah beserta konflik mencengkam semestinya meruntun jiwa penonton. Kami mendengar permintaan penonton yang ingin melihat gandingan bersama Che Puan Sarimah Ibrahim dan Zamarul Hisham, ditambah dengan penglibatan Datin Elvina Mohamed yang disukai penonton Tiara melalui drama panjang sebelum ini," katanya.

Nur Ain Shariff dan Ejump Mohd, selaku pengarah drama ini menyifatkan karya 'Ternyata Sebuah Bahagia' sebagai naskhah yang dapat membuka mata masyarakat mengenai hubungan kasih sayang sesama manusia walaupun dalam jurang yang berbeza. Menurutnya, sebagai manusia kita pernah leka, namun menerusi drama ini, ia sedikit sebanyak dapat mengajar kita tentang disebalik kekurangan akan ada kelebihan.

“Kita sedia maklum apa sahaja perkara yang terjadi dalam masyarakat kemudian diterjemahkan semula dalam bentuk penceritaan drama pastinya akan menarik minat para penonton. Saya berharap penonton menikmati naskhah ini sebaiknya dan akan lebih menghargai keluarga mereka selepas menonton drama ini. Selain dari mesej-mesej berunsur keagamaan, kekuatan watak seorang ayah dalam memulihkan kembali keluarga yang sudah berantakan menjadi kekuatan drama ini," katanya.

Bagi peminat drama, jangan lepaskan peluang untuk menonton Ternyata Sebuah Bahagia yang sudahpun ditayangkan bermula 23 September 2024 di Astro (juga di On Demand, Astro Go dan Sooka).

Sinopsis ringkas:-

'Ternyata Sebuah Bahagia' mengisahkan Datuk Zamani yang hampir menemui ajal selepas diserang Angin Ahmar ketika di kelab malam. Susulan dari peristiwa tersebut, keluarganya berpecah belah. Setelah dirinya kembali sembuh, Datuk Zamani mula mengubah gaya hidupnya dan banyak mendalami ilmu agama. Perubahan drastik Datuk Zamani memberi kesan kepada isterinya Jeanice yang tidak pernah diberikan pendedahan sejak mula memeluk agama Islam. Namun Jeanice pada mulai sedar mula menuruti kehendak agama. Rhea pula telah dipinang oleh Jeanice untuk menghalang suaminya dari berkahwin dengan perempuan lain. Namun Rhea mempunyai niat tersembunyi apabila dia bersama bekas kekasihnya cuba untuk menjatuhkan perniagaan dan juga keluarga Datuk Zamani.

Gambar Muka Depan: Kosmo & Glam Malaysia

Catat Ulasan

0 Ulasan