Bukan mudah untuk melancarkan sebuah album studio ketika ini, walaupun hakikatnya ia diidamkan oleh semua penyanyi, namun bukan semua mampu berbuat demikian.
Kemenangan beliau dipentas Anugerah Juara Lagu ke 38 (AJL38) awal Mac lalu menjadi penanda aras kepada kemunculan beliau dipersada muzik negara. Kehebatannya di dalam menghasilkan lagu diakui malahan pengalaman lebih 13 tahun di dalam industri muzik tempatan menjadi asas kekuatan untuk beliau terbang lebih jauh.
Mohammad Amirullah Jahari atau Amir Jahari, 32, baru-baru ini telah melancarkan album solonya yang terbaharu. 'Kembali' merupakan album studio ketiga Amir selepas Penghibur Jalanan (2013) dan Siang & Malam (2020).
Kembali adalah momen penting buat seorang penghibur untuk mengekalkan tradisi bagi menterjemahkan seni dan muzik agar terus relevan dan berkembang pesat selari dengan perkembangan muzik dan budaya itu sendiri.
Amir Jahari yang banyak menghasilkan lagu secara bebas tidak menafikan kuasa muzik sebagai pelaris bagi mengukuhkan jenamanya agar diketahui umum. Peminat yang merindui kualiti sesebuah muzik pastinya bersetuju jika dikatakan 'Kembali' adalah terjemahan Amir bagi membawa muzik itu kembali ke akar umbi dan budaya sesebuah bangsa sepertimana kata Seniman Agung Tan Seri P.Ramlee, 'Walaupun aku sudah mati, aku akan hidup 1000 tahun lagi'.
Mendengar keseluruhan track dalam album Kembali, jujur untuk dikatakan bahawa kualiti Amir seperti kita menghayati alunan muzik dari seberang, Indonesia.
"Saya membawa muzik dalam Kembali itu untuk pendengar lebih menghayati bagaimana kita memiliki seni dan budaya dalam sesebuah lagu, Kehebatan kita bukan sekadar berimaginasi melalui lagu, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita untuk memberi kepuasan melalui genre sesebuah lagu yang dihidangkan.
"Elemen nusantara dalam pembikinan sesebuah lagu dalam album ini menjadi intipati berharga bagi menarik peminat dari pelbagai negara untuk kembali mendengar muzik kita. Lagu-lagu seperti Kenangan, Belangsungkawa, Percayalah Padaku, Hasrat dan sebagainya yang terkandung dalam 15 track album Kembali mungkin ada jawapannya bagi mendefinisikan muzik itu adalah 'nusantara," katanya.
Amir Jahari yang ditemui media semasa pelancaran dan pra dengar album Kembali berharap peminat muzik dapat menerima karya terbaharunya ini. Album “Kembali” memuatkan sejumlah 15 lagu, iaitu 12 lagu baharu serta tiga lagu rakaman semula, iaitu Hasrat yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-38 dengan susunan yang diolah khas untuk malam bersejarah itu telah pun berada di pasaran sejak Mei yang lalu.
Manakala lagu berjudul “Sampai Ke Bulan” pula ditulis oleh Amir Jahari sepenuhnya untuk album 2013 Faizul Sany, serta single pertamanya “Tanpamu” yang diberi nafas baharu bersama penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak iaitu Nana Sheme.
Menariknya juga, album ini mendapat sentuhan magis beberapa orang produser serta pemuzik tanah air termasuk AG Coco (Hujan) di mana keseluruhan genre lagu yang dipersembahkan seolah-olah anda mendengar muzik nyanyian dari penyanyi Indonesia seperti Budi Doremi dan sebagainya.
Apabila bercakap mengenai album fizikal, Amir berpendapat bahawa penerbitan album 'Kembali' dihasilkan dalam dua format, digital dan fizikal. Fizikal dalam bentuk cakera padat yang sudah dijual menerusi laman sesawang Sekalo Music sekitar dua bulan yang lalu adalah bertujuan untuk koleksi peribadi peminat dan pendengar muzik. Pelantun suara 'Hasrat' dan 'Kenangan' itu menyifatkan penerbitan album dalam fizikal amat penting sebagai kenangan seterusnya mampu menjadi khazanah muzik yang berharga untuk generasi akan datang.
Kembali bukan sekadar produk muzik, tetapi ia juga memberi penghormatan kepada warisan seni budaya yang kaya dan penuh warna warni, sekaligus menjanjikan pengalaman yang menakjubkan serta memukau khalayak bagi menterjemahkan muzik adalah kepelbagaian seni melalui pengamatan, pendengaran serta keikhlasan sebuah karya yang jujur dari hati seorang anak seni kelahiran Kuching, Sarawak.
Hayati, dengarkan dan nikmati Kembali pasti anda menyukainya.
0 Ulasan