FILEM LA LUNA WAKILI SINGAPURA KE OSCAR

Walaupun pernah dikritik sebilangan pengkritik tempatan sebagai filem yang mencemar akidah dan budaya setempat, La Luna arahan M.Raihan Halim dipilih mewakili Singapura bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke 97, Oscar yang bakal berlangsung Mac 2025. 

Filem yang diterbitkan Clover Films, Act 2 Pictures, One Cool Film Production dan Papahan Films itu merupakan karya dari Singapura yang menampilkan lakonan hebat Shaheizy Sam, Sharifah Armani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nam Ron, Farah Ahmad, Nadiya Nisaa, Iedil Dzuhrie Alauddin dan ramai lagi itu mengisahkan seorang wanita yang membuka kedai pakaian dalam, "La Luna" di sebuah kampung konservatif di Malaysia. 

Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) dalam satu kenyataan berkata penerbitan bersama Singapura-Malaysia itu dipilih oleh jawatankuasa pemilihan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Suruhanjaya Filem Singapura (SFC). 

La Luna disokong oleh IMDA dan SFC di bawah Program Perkembangan Bakat Media. Filem ini ditayangkan di pawagam Singapura, Malaysia dan Indonesia pada November tahun lepas. Filem yang diedarkan di tiga buah negara itu juga membuat tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo di bawah Seksyen Masa Depan Asia dan turut serta dalam Festival Filem Asia Jogja-Netpac tahun lepas. 

Filem yang dipilih sebagai karya penutup di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam dan ditayangkan dalam seksyen Panorama Antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Shanghai awal tahun ini merupakan filem yang menelan kos penerbitan sebanyak RM 3.5 juta.

Penolong Ketua Eksekutif Media, Inovasi, Komunikasi dan Pemasaran IMDA, Justin Ang berkata bahawa La Luna adalah bukti hebat terhadap kepelbagaian bahasa dan etrnik Singapura yang menghasilkan cerita menarik. 

"Kami berbangga dengan M. Raihan Halim serta pasukan produksi dan para pelakon. Tentunya kami menantikan berita baik di Anugerah Oscar 2025," katanya.

Raihan berkata beliau berasa rendah diri, kagum dan berbesar hati mewakili Singapura.

"Pasukan saya dan saya benar-benar teruja," katanya. 

Sementara itu, pelakon utama Sharifah Armani berkongsi bahawa memegang watak Hanie Abdullah adalah pengalaman yang sangat peribadi buat dirinya.


"Kini, apabila melihat filem ini diiktiraf oleh Sinagpura sebagai pilihan rasmi mereka untuk Oscar adalah sangat luar biasa. Setiap filem mempunyai kehidupannya sendiri, dan La Luna terasa seperti sebuah karya seni yang lahir daripada semangat dan kerja keras semua yang terlibat," katanya. 

Sumber berita dipetik dari Bernama dan diolah oleh Wajib Tonton. 

Catat Ulasan

0 Ulasan