KONSERT HITAM MANIS GABUNGAN DATO' HATTAN, HAZAMA DAN BLACK!


Bersiap sedia untuk sebuah malam yang luar biasa apabila Konsert Hitam Manis bakal menggamatkan pentas dengan persembahan hebat daripada tiga penyanyi berkaliber tanah air, Datuk Hattan, Hazama dan Black.

Konsert yang bakal diadakan pada 8 Februari 2025 di Plenary Hall, KLCC ini dijangka menjadi acara muzik yang memukau, menggabungkan elemen nostalgia, rock, dan suara mantap ketiga-tiga bintang ini.


Menariknya, Konsert Hitam Manis ini menjadi persembahan berskala besar pertama bagi membuka tirai tahun baharu 2025 yang dibawakan secara eksklusif oleh penganjur Reacch Events.

Konsert Hitam Manis menjanjikan sebuah persembahan yang dinamik, menampilkan gabungan lagu-lagu hits daripada setiap penyanyi, serta kolaborasi eksklusif yang pastinya akan memukau peminat. 



Datuk Hattan, legenda muzik rock Malaysia, dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti Biso Bonar, Mahligai Syahdu, dan Memburu Rindu bakal membawa semangat rock klasik yang penuh bertenaga. Manakala, Hazama pemenang program Akademi Fantasia dan penyanyi yang terkenal dengan vokal uniknya, bakal menggegarkan pentas dengan lagu-lagu popularnya.Sementara Black yang tidak asing lagi dengan suara lantang dan gaya persembahan yang energetik, cukup dikenali dengan lagu-lagu hitnya seperti Sofea Jane, Teman Pengganti, dan Anugerah Terindah.

Datuk Hattan yang sudah lama berada dalam industri, meluahkan kegembiraannya untuk kembali ke pentas bersama Hazama dan Black. 

“Konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menggabungkan elemen muzik yang berbeza dari generasi yang berbeza. Saya yakin peminat akan terhibur dan merasai kelainan dalam setiap persembahan,” katanya.


Bagi Hazama yang terkenal dengan kelainan muzik dan gayanya yang tersendiri, menyatakan bahawa konsert ini sebagai bukti perpaduan antara artis pelbagai generasi. 

“Saya teruja dapat bersama-sama dengan Datuk Hattan dan Black. Ia satu peluang istimewa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kami,” katanya.

Begitu juga dengan Black dengan kehebatannya dalam vokal dan persembahan, menambah bahawa malam konsert itu akan menjadi satu perjalanan yang epik. 

“Ini bukan hanya sekadar konsert, tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati peminat dari pelbagai lapisan masyarakat. Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama peminat,” katanya.


Konsert Hitam Manis dijangka berlangsung selama dua jam dan menawarkan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet, serta gabungan yang eksklusif antara Datuk Hattan, Hazama, dan Black. 

Dengan kepelbagaian gaya muzik yang ditawarkan, konsert ini dijangka menarik perhatian pelbagai generasi peminat muzik tanah air.

Tiket konsert mula dijual pada 4 Oktober 2024 bermula jam 11 pagi menerusi laman web www.ticket2u.com. 





Catat Ulasan

0 Ulasan