Bukan mudah untuk mencipta nama apatah lagi bergelar anak seni dalam tempoh 30 tahun. Pelbagai suka duka ditempuhinya, menjadikan figura seni ini berada di kelasnya yang tersendiri.
Bermula kerjaya seawal usia 15 tahun, pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim, 44, atau Liza Hanim mengakui beliau amat merindui dunia lakonan yang pernah diceburinya pada tahun 1998 sehinggalah tahun 2006. Mencipta nama menerusi watak Linda Martopo di dalam filem KL Menjerit (2002) arahan Bade Hj. Azmi, Liza Hanim berkata, sebagai anak seni yang bermula dengan menyanyi, beliau tidak akan menolak tawaran untuk kembali berlakon sekiranya watak yang diberikan itu sesuai dengan imej dan personalitinya kini.
"Mestilah saya rindu untuk kembali berlakon. Tapi, nak kata watak apa yang saya inginkan tentunya watak yang sedikit mencabar, bukan klise dan mampu memberikan sisi berbeza seorang yang bernama Liza Hanim.
"Sekiranya watak tersebut memerlukan saya menjadi orang lain yang lebih drastik misalnya orang gila, psiko, dan sebagainya mengapa tidak untuk saya menerima tawaran sebegitu. Akan tetapi, jika ada penerbit yang memberi tawaran saya watak mak-mak datin, sugar mummy, orang kaya, datin rampas kuasa atau seumpamanya, sejujurnya saya tidak berminat langsung. Biar watak itu ada sedikit kontra dan warna dalam pembinaan watak dalam sebuah karektor," katanya kepada Wajib Tonton.
Liza yang ditemui media semasa Pelancaran Drama Ternyata Sebuah Bahagia di sebuah pawagam terkemuka di Kuala Lumpur menyifatkan lakonan dan nyanyian adalah dua bidang yang berbeza. Namun sebagai anak seni yang pernah membintangi tiga buah filem iaitu KL Menjerit (2002), Laila Isabella (2003) dan Diva Popular (2006), berkongsikan bahawa beliau mengidamkan satu watak yang boleh memberikan kontra dan warna dalam sesebuah naskhah.
Album Fizikal dan Muzik Orkestra
Ketika bercakap mengenai pembikinan album fizikal yang kini menjadi trend dikalangan penyanyi senior atau baharu, Liza Hanim berkata sesungguhnya beliau teringin untuk menghasilkan album khas yang memberi penghargaan kepada muzik dan lagu klasik melayu.
"Sesungguhnya kita mempunyai naskhah seni muzik yang cukup hebat. Kita ada banyak koleksi lagu melayu klasik lama yang boleh diterokai nilai seni dan khazanahnya. Mengapa tidak untuk saya menerbitkan lagu-lagu tersebut dalam sebuah album fizikal yang boleh disimpan oleh kita semua?. Misalnya lagu-lagu lama Tan Sri P.Ramlee," katanya.
Liza yang pernah menerbitkan album Di Mana Kan Ku Cari Ganti (1998) itu tidak akan menolak rezeki sekiranya diberi peluang menghasilkan album itu kembali, tetapi kali ini beliau mengidamkan keseluruhan muzik yang dirakamkan itu menggunakan orkestra.
"Sudah tentu saya mahukan rakaman secara langsung dengan muzik orkestra. Bukan sahaja buat lagu-lagu P.Ramlee tetapi boleh juga lagu-lagu melayu klasik yang lain," kata Liza Hanim penuh teruja.
Liza Hanim yang mempunyai 7 buah album studio, 3 album terbitan lain dan 14 album kompilasi Aidilfitri ini antara penyanyi wanita yang diiktiraf mempunyai vokal yang agak lunak dan mampu menyanyikan pelbagai buah lagu di sepanjang tiga dekad pembabitannya dalam arena seni suara tanah air.
Pelantun suara Getaran Cinta Di Jiwa (1997) dan Gelisah Mimpi (2001) itu juga merakamkan lagu terbaharu yang bertajuk Perisai Cinta di mana ia menjadi lagu tema drama Ternyata Sebuah Bahagia yang kini ditayangkan di slot Tiara pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 6.00 petang dan ia sudah menemui penonton sejak 23 September lepas.
0 Ulasan