MAGIS SITI & JUDIKA DI STADIUM MERDEKA

Bukan mudah untuk menyatukan pasangan ini di atas satu pentas, malahan beraksi selama 3 jam tanpa henti adalah kekuatan utama The Journey of Sound yang bakal dipentaskan 14 Disember depan. 

Menampilkan dua bintang seni suara dari Malaysia dan Indonesia, Dato' Sri Siti Nurhaliza dan Judika, The Journey Of Sound memilih Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sebagai destinasi utama bagi menterjemahkan seni  muzik  di atas satu panggung.

Lokasi yang boleh memuatkan hampir 20,000 penonton ini dibuka kali pertama pada tahun 1957 di mana pada 31 Ogos 1957, Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan, Stadium yang menyaksikan detik bersejarah kemerdekaan Tanah Melayu ini telah menjalani pemulihan dan ia dibuka secara rasmi semula pada 17 Ogos 2024 selepas 8 tahun ditutup operasinya pada tahun 2016. 

Menariknya juga, apabila Stadium Merdeka pernah menjadi lokasi kepada acara penutup Sukan Sea KL 1989 di mana Penghibur No 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad pernah membuat konsert di sini dengan memakai pakaian Jalur Gemilang terpanjang ketika memasuki ruang bersejarah ini. 

Momen penuh kenangan itu sekali lagi bakal tercipta apabila Penyanyi Nombor Satu Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza bakal membuat persembahan di stadium penuh ikonik ini, Universal Gateway yang merupakan penganjur utama konsert ini dalam satu sidang media berkata, pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi utama konsert ini adalah kerana nilai sejarah yang pernah berlaku di sini disamping pemilihan duo terbesar dalam seni suara dua negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza dan Judika adalah lambang ikonik di dalam industri muzik nusantara.

"Keterujaan kami apabila dapat menyatukan dua ikon seni suara ini di atas satu panggung. Kehebatan Dato' Sri Siti Nurhaliza dan Judika masing-masing mempunyai aura tersendiri dan gabungan ini kita percaya ia mampu memberikan definisi tentang keindahan muzik bukan sahaja melalui persembahan tetapi cara bagaimana mereka bersatu dan menghiburkan penonton," kata Isa yang merupakan Ketua Pegawai Kewangan daripada Universe Gateaway.

Siti Nurhaliza yang mempunyai pengalaman hampir 28 tahun sebagai penghibur di dalam industri seni suara tempatan dan Asia berkata, gabungan beliau bersama Judika adalah cukup istimewa memandangkan Judika atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi Sihotang, 46, mampu memikat pendengar dari dua buah negara bahkan kualiti persembahan beliau amat dikagumi penyanyi nombor satu negara itu.

"Bukan sahaja boleh menyampaikan pelbagai lagu, Judika bagi saya ia seorang penyanyi lelaki dari seberang yg amat saya kagumi. Saya cuba bayangkan bagaimana Judika membawa lagu-lagu beliau atau penyanyi lain dengan cara beliau sendiri tanpa merosakkan lagu asal bahkan lagu itu jika didengar macam lagu beliau. Ini yang saya cuba letakkan agar antara saya dan Judika, mampu memberikan persembahan yang cukup menghiburkan tetapi berbeza dengan cara kami.

"Tentang senarai lagu, ia masih dalam proses perbincangan di mana Judika juga akan menyampaikan lagu solo beliau, begitu juga saya. Jadi, nantikan persembahan kami berdua dalam The Journey Of Sound," kata Dato' Sri Siti Nurhaliza berharap konsert yang bakal dipentaskan 14 Disember depan dapat dizahirkan dengan cemerlang.

Bagi pelantun suara Kisah Ku Inginkan, Tak Mungkin Bersama dan Hilang Tapi Ada, Judika melahirkan keterujaan dan berbesar hati untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang disegani dan dihormati, Siti Nurhaliza.

“Tentu sahaja saya tidak punya alasan untuk menolak satu panggung bersama Dato Sri Siti Nurhaliza yang saya hormati, apa lagi berkolaborasi dengan beliau dalam sebuah konsert berjudul The Journey of Sound.

“Saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang tetapi percayalah anda akan menikmati sebuah pengalaman luar biasa di dalam The Journey of Sound bukan hanya kerana saya dan Siti Nurhaliza selaku subjek utama tetapi bagaimana keseluruhan produksi konsert ini mempersembahkan konsep yang spektakular untuk ditonton,” katanya.

Judika yang pernah merakamkan lagu bersama Siti Nurhaliza bertajuk Kisah Ku Inginkan itu berharap persembahan mereka pada malam 14 Disember depan bakal mencipta magis tersendiri dan mencipta momen manis di dalam industri seni dan muzik bukan sahaja di Indonesia malahan di Malaysia sendiri.

Tiket-tiket berharga serendah RM199 sehinggalah RM1,299 boleh dimiliki segera melalui laman Ticket2U.

Catat Ulasan

0 Ulasan