MALAM EPIK KONSERT MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1

Peminat muzik tanah air bakal disajikan dengan satu malam epik menerusi Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 menampilkan sembilan penyanyi hebat yang sudah lama mencorak industri muzik Malaysia. Konsert yang dinanti-nantikan ini bakal berlangsung pada 25 Januari 2025 di Zepp Kuala Lumpur dan membariskan barisan artis terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Nurshila Amin, Andy Flop Poppy dan Amir Masdi.

 
Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 adalah satu penghormatan kepada tiga dekad dan tiga era kegemilangan industri muzik Malaysia, yang menampilkan gabungan artis-artis lagenda dari pelbagai genre muzik, termasuk pop, rock, dan balada. Persembahan berkonsepkan ‘back to the 80's & 90's’ ini dijangka memberikan pengalaman yang penuh nostalgia bagi peminat muzik tempatan serta menyaksikan kolaborasi eksklusif yang jarang berlaku di atas pentas yang sama
 
Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 bukan sahaja menjanjikan persembahan solo luar biasa, malah gabungan vokal-vokal hebat dalam segmen istimewa yang akan menyatukan penyanyi-penyanyi ini di atas satu pentas. Peminat boleh menjangkakan detik-detik magis apabila artis-artis dari generasi berbeza bergabung dan membawa sentuhan istimewa dalam setiap persembahan. Bakal mempersembahkan 22 lagu yang mana kesemua lagu pernah dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu dan pernah memenangi acara berprestij itu.

 
Malah, kemunculan istimewa daripada Kid Search yang juga pemain gitar asal kumpulan Gersang menerusi lagu Masih Aku Terasa bakal memberikan satu lagi momen berharga dalam konsert ini. Penganjur konsert yang juga Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events Afiezan Shah Mohd Zahari berkata, gabungan kesemua artis dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia.

“Konsert ini bukan sahaja untuk meraikan artis-artis lagenda, tetapi juga untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia. Setiap penyanyi dalam barisan ini sudah meninggalkan impak yang luar biasa, dan kami teruja untuk memberikan satu malam yang penuh dengan kenangan dan muzik berkualiti tinggi.
 

"Malah, karya setiap penyanyi yang terbabit dalam barisan konsert ini juga berjaya menyentuh hati ramai pendengar. Mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi adalah ikon yang mencerminkan seni muzik dan budaya masyarakat kita.
 
“Kami sangat teruja dan bersemangat untuk menawarkan kepada penonton satu pengalaman yang penuh dengan kenangan manis serta nostalgia. Nantikan persembahan yang menjanjikan muzik berkualiti tinggi, di mana lagu-lagu hits daripada setiap artis tersohor akan diperdengarkan, membawa kembali memori indah untuk semua yang hadir.

 
“Kami berharap konsert ini akan menjadi satu perayaan yang tidak boleh dilupakan, di mana meriahnya muzik akan menghimpunkan peminat-peminat yang sudi bersama untuk meraikan perjalanan indah industri muzik Malaysia serta menghargai bakat-bakat yang terbukti hebat ini," katanya.
 
Bagi melengkapkan lagi momen pada malam itu, penganjur mengajak penonton untuk sama-sama mengenakan 'dress code' bertemakan retro  sekaligus mengabadikan memori bersama. Konsert ini menampilkan pengarah muzik Shah Slam turut mendapat sokongan Sinar FM, Gegar FM dan Zayan FM selaku radio rasmi. Tiket bagi menyaksikan konsert ini sudah mula dijual sejak 29 September lalu dan boleh didapati menerusi www.myticketempire.com. Maklumat tiket juga boleh diperolehi dengan melayari Instagram rasmi MEGAHITZ @pentas365.




Catat Ulasan

0 Ulasan