PROJECT KAHAR KAPLA HIGH COUNCIL DIDEDAHKAN


Selepas siri premium Project: High Council mencipta fenomena luar biasa, Astro Shaw mengambil langkah mengembangkan jenama ‘Project’ menerusi perancangan yang lebih besar dengan memperkenalkan ‘Project Universe’; satu dunia sinematik yang menghimpunkan kesemua karya yang mengangkat kisah-kisah remaja dalam genre coming-of-age.


Project Universe terdiri daripada naskhah seperti Project: Anchor SPM, Project: High Council dan Project; Exit, termasuklah filem yang akan meneruskan legasi universe ini iaitu Kahar: Kapla High Council. Filem  yang bakal ditayangkan pada November nanti merupakan prekuel kepada Project : High Council yang memfokuskan kepada watak Kahar.  



Penerbit Eksekutif Kahar : Kapla High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Genre coming-of-age semakin mendapat tempat di hati penonton selepas kemunculan Project : High Council dan Project : Anchor SPM. Rentetan sambutan luar biasa tersebut, Astro Shaw berhasrat untuk terus mencipta sejarah dalam transformasi landskap seni hiburan tempatan dengan memperkenalkan ‘Project Universe’. Ini adalah satu langkah strategik untuk mempersembahkan jalan cerita yang melahirkan watak-watak ikonik ke dalam satu dunia yang lebih besar dan lebih mengujakan. 


Menerusi Project Universe, kami mengangkat kisah remaja yang bukan sahaja menghadapi liku-liku kehidupan, tetapi realiti isu sosial yang berlaku di luar sana yang merentasi sempadan kreativiti. Lebih dari itu, ia bukan sekadar pengalaman tontonan biasa. Kami mahu penonton menjadi sebahagian daripada Project Universe menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan eksklusif yang akan kami bawakan. Antaranya sesi beramah mesra bersama watak-watak kegemaran, mendapat koleksi ‘merchandise’ rasmi, malah berpeluang untuk muncul di dalam mana-mana produksi dan banyak lagi," katanya.



Majlis memperkenalkan Project Universe yang berlangsung di Setia City Mall, Shah Alam pada petang Sabtu ini juga menyaksikan Astro Shaw bersama rakan kerjasama iaitu HM Entertainment, ZAK Capital dan GSC turut memberi peluang kepada peminat untuk menjadi orang yang pertama menyaksikan treler dan poster rasmi Kahar: Kapla High Council. Antara barisan pelakon yang hadir adalah Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Thompson Goh, Khenobu, Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Ayie Khairie dan Hasnul Rahmat, serta pengarah Razaisyam Rashid bersama penulis skrip, Anwari Ashraf. 


Selain itu, antara aktiviti menarik untuk peminat menjadi sebahagian daripada Project Universe adalah Festival Project, Siri Jelajah Kahar : Kapla High Council, Sim Pek Eksklusif Kahar : Kapla High Council Edisi Khas Tune Talk, Merchandise rasmi eksklusif filem, Menu Makanan Istimewa Bertemakan Kahar: Kapla High Council di mana filem ini turut mendapat sokongan daripada Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA Malaysia) dan Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF).


Di samping itu juga, buat pertama kali dalam sejarah, pada hari pertama tayangan filem di pawagam iaitu 28 November depan, Kahar : Kapla High Council akan mengambil alih semua platform seperti radio, televisyen, media sosial dan papan iklan di sekitar Lembah Klang dengan menayangkan video pesanan khidmat masyarakat Kahar : Kapla High Council dalam tempoh 24 jam bagi memberi kesedaran awam tentang kempen anti buli dan keganasan. Barisan pelakon juga akan mengambil alih tugas penyampai radio Era, radio rasmi filem Kahar : Kapla High Council. 


Bagi merancakkan lagi aura filem ini, satu episod Istimewa Kahar : Kapla High Council akan ditayangkan. Program berdurasi 30 minit ini akan membawa penonton menyaksikan titik permulaan perjalanan barisan pelakon filem ini dari awal pencarian uji bakat sehingga pemilihan pelakon. Program ini boleh disaksikan di On Demand, Astro Go dan pop up channel Kahar : Kapla High Council saluran 111 bermula 11 November.



Nantikan Kahar: Kapla High Council di pawagam bermula 28 November 2024. Tonton di pawagam bukan di rumah anda.


Catat Ulasan

0 Ulasan