'SESAL TAK BERMAKNA' JACLYN VICTOR BAKAL PUKAU PEMINAT 12 OKTOBER INI

Walapun berbaki enam hari menuju ke malam konsert, Penyanyi Jaclyn Victor akhirnya melancarkan single terbaharu nyanyiannya, Sesal Tak Bermakna. Lagu ciptaan Gerald Sellan dan Mux Ryzor itu telah pun berada di platform streaming digital seluruh negara sejak 23 Ogos lalu. 

Konsert solo pertama Jaclyn Victor yang dijadual berlangsung di  Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober ini, bakal menghidangkan 20 buah lagu popular Jacyln Victor di sepanjang dua dekad pembabitannya di dalam industri muzik tanah air. Pelantun suara Gemilang itu bakal menjanjikan satu persembahan cukup bertenaga.

Ketika bercakap kepada media mengenai konsert yang bakal berlangsung 12 Oktober itu, Jaclyn, 45, berkata konsert yang bakal mencipta sejarah itu akan menampilkan Genervie Kam sebagai pengarah muzik. Menurut rekod, Genervie merupakan pemain piano, pemuzik dan penggubah muzik di beberapa buah negara termasuk di China, Taiwan, Singapore, Brunei dan Amerika Syarikat. Genervie merupakan isteri kepada penyanyi Hazama Azmi.

"Satu penghargaan buat Jac apabila dapat mengadakan konsert ini. Terima kasih buat peminat yang selama ini menyokong karier Jac dan bagi anda yang sudah membeli tiket, Jac amat hargai," katanya.

Ketika melihat pada situasi di dalam industri muzik hari ini, Jaclyn Victor yang pernah menghasilkan 7 buah album termasuk lima album bersama Sony Music dan sebuah album bersama KRU Music, Jac berkata, inilah masa yang sesuai buat dirinya muncul dengan lagu terbaharu nyanyiannya serta mahu peminat melihat ia daripada sisi berbeza.

Dibalut dalam genre balada pop ditemani melankolis dentingan piano, Jac mendefinisikan Sesal Tak Bermakna sebagai semangat yang perlu ada dalam setiap individu setelah sesuatu perkara kurang baik berlaku.


 


“Mungkin bunyi Sesal Tak Bermakna seperti satu penyesalan terhadap perbuatan yang telah dilakukan tapi Sesal Tak Bermakna versi single kedua saya ini adalah bagaimana seseorang belajar di sebalik sesuatu yang berlaku dan berusaha menjadi lebih baik pada masa hadapan,” ujar Jac.


Ironi kata Jac lagi, Sesal Tak Bermakna yang menjadi single kedua selepas kejayaan Kejutkan Aku itu mengisahkan kebangkitan seseorang selepas cinta yang disemai tidak berbuah manis.


Sesal Tak Bermakna adalah sebuah lagu cinta. Ia mengajar kita meneroka dan mengatasi penyesalan serta memaafkan diri sendiri. Saya juga berpegang kepada peribahasa ‘apa yang tidak membunuhmu, menjadikanmu lebih kuat.’ Dan itulah (roh) yang ada dalam Sesal Tak Bermakna,” ujar Jac.



Menariknya juga untuk muzik video lagu ini, Jac kembali mempamerkan bakat lakonannya dengan menjadi pemeran untuk video tersebut. Sebelum ini Jac pernah berlakon dalam filem Talentime pada tahun 2009. 


Seiring lahirnya Sesal Tak Bermakna di pasaran, Jac juga teruja menyambut ribuan peminat untuk merayakan ulang tahun ke-20nya sebagai anak seni di Jaclyn Victor First Solo Concert yang dibawa oleh Rag Doll Records dan disokong oleh CUCKOO dan KAIMIRRA.


Di pentas Zepp KL pada 12 Oktober 2024, Sesal Tak Bermakna akan disampaikan bersama lagu-lagu lain yang telah mengharumkan nama Jac bukan sekadar ‘gadis pemenang program realiti televisyen’ sebaliknya permata seni yang patut dibanggakan.



“Saya sangat tidak sabar menanti hari besar nan bersejarah iaitu Jaclyn Victor First Solo Concert pada 12 Oktober 2024 di Zepp KL. 


“Konsert solo ini akan menjadi medan pertemuan intim dengan peminat dan tanda cinta serta apresiasi saya kepada mereka yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni saya sejak dua dekad lalu,” kata Jac.


Untuk menyaksikan Jaclyn Victor First Solo Concert, jangan terlepas mendapatkan tiket berharga RM258 sehingga RM888 sudah mula dijual di www.livepass.asia.

Catat Ulasan

0 Ulasan