'TAPI BUKAN DENGANMU' SINGLE TERBAHARU BELLA ASTILLAH

Walaupun terpalit dengan pelbagai cerita kontroversi, penyanyi yang juga pelakon, Bella Astillah tampil dengan sebuah single terbaharunya, Tapi Bukan Denganmu

Lagu ciptaan komposer popular, Sharon Paul itu sudah pun berada di platform penstriman digital bermula semalam, 4 Oktober 2024, di mana video klipnya turut dilancarkan pada tarikh yang sama. 

Bella Astillah atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, ketika ditemui semasa sesi sidang media dan pelancaran MTV Tapi Bukan Denganmu di Aurum Theatre, TRX pada petang Jumaat menyifatkan lagu tersebut begitu dekat dengan jiwanya, malahan ia ditulis berdasarkan kisah peribadi.

"Lagu ini begitu istimewa bagi saya kerana liriknya ditulis sendiri berdasarkan pengalaman peribadi. Tambahan pula, saya berpeluang bekerjasama dengan Sharon Paul, seorang komposer yang cukup berpengalaman. 

"Beliau seorang yang sangat selesa dan mudah untuk bekerjasama. Dari segi melodi ia sangat menyusuk jiwa malahan liriknya saya tulis berdasarkan percisan kisah peribadi yang diolah menjadi sebuah nota lirik berlagu yang sangat merdu dinyanyikan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan beberapa pelakon lelaki, Bella tidak mahu ia menjadi cerita sensasi malahan pelakon kelahiran Sabah itu mahu peminat melihatnya dari sudut karier berbanding cerita peribadi.

Bella yang kini sibuk dengan penggambaran sebuah drama tempatan berharap, peminat dan pendengar muzik dapat menerima lagu terbaharunya sekaligus menerima olahan pengarahan video klip yang dihasilkan dan kini boleh ditonton di laman YouTube Universal Music Malaysia.


Catat Ulasan

0 Ulasan