AHMAD NAWAB SATU DALAM SEJUTA

Pemergian Seniman Negara, Tan Sri Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab yang meninggal dunia semalam (24 Nov 2024) pada usia 92 tahun disifatkan sebagai kehilangan permata yang tiada bandingnya di dalam industri muzik tanah air.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran, Datuk DJ Dave berkata Ahmad Khan Nawab Khan adalah seorang pemuzik yang mampu mencipta sesebuah lagu sesuai dengan kebolehan dan karakter seseorang penyanyi. 

"Saya amat sedih kerana dalam tempoh seminggu ini, selain arwah Ahmad Nawab, saya juga telah kehilangan komposer legenda, Datuk S Atan pada Sabtu lepas. Mereka berdua ini adalah tokoh guru muzik dalam kehidupan kerjaya seni saya.

"Saya banyak belajar daripada arwah. Apabila masuk ke dalam studio bersamanya, ada ketikanya kena marah, tapi saya sabar kerana mahu belajar dan banyak nasihat yang dikongsikan," katanya kepada pemberita di kediaman Allahyarham di Taman Melewar di sini malam tadi.

DJ Dave berkata beliau ada berjumpa dengan Ahmad Nawab di Istana Negara pada tahun lepas selepas beliau dikurniakan gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Ketika itu, kami banyak bercakap tentang kerjaya seni saya dan sebagainya. Saya juga ada jemput arwah datang ke rumah saya dan beliau berkata 'Ya' minggu depan beliau nak datang, tapi kemudian beliau memaklumkan kepada saya beliau tak sihat, minggu seterusnya juga tak sempat (datang) kerana beliau masih tidak sihat," katanya.

Sementara itu, Seniwati Dato' Rosnani Jamil pula berkata beliau dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang ada merancang untuk mewujudkan galeri atau muzium seni untuk arwah memandangkan beliau juga berasal dari negeri itu.

"Kebetulan mak (Rosnani) baru balik dari Pulau Pinang merasmikan galeri untuk Allahyarham Seniman Nordin Ahmad bersama Persatuan Karyawan Pulau Pinang , selama ini orang ingat P. Ramlee sahaja dari Pulau Pinang, jadi kita buat juga (galeri) untuk Nordin.

"Dalam bersama-sama kita berbicara memikirkan Ahmad Nawab pun orang Pulau Pinang, jadi Persatuan Karyawan Pulau Pinang kata, insya-Allah sekarang kita dah selesai buat untuk Nordin, kita akan buat untuk Nawab pula.

"Kami gembira apabila bercakap mengenai perancangan itu, namun tidak sempat untuk diberitahu apabila anak-anak mak menelefon memaklumkan beliau sudah pergi (meninggal dunia)," katanya.

Ahmad Nawab meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 3.15 petang semalam dan jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam pagi tadi.

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 buah album yang didendangkan  artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang, Broery Marantika dan ramai lagi dengan 2,000 karya muzik merentasi zaman.

Antara penyanyi tempatan yang dicungkil bakatnya oleh Ahmad Nawab adalah Ramlah Ram, Uji Rashid, Datuk Jamal Abdillah dan ramai lagi. Lagu bertajuk Malaysia Truly Asia dendangan Datuk Khadijah Ibrahim merupakan lagu ciptaan Ahmad Nawab yang bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.

Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun ini pernah memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya, Bintang Malam pada 1980. 

Di dalam industri filem tanah air, Allahyarham Ahmad Nawab antara penggubah runut bunyi dan skor muzik bagi filem-filem klasik Melayu hebat Studio Merdeka (kini FINAS). Filem seperti Si Tora Harimau Jadian, Sesudah Subuh, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Permintaan Terakhir, Hapuslah Air Matamu, Menanti Hari Esok, Sumber Ilhamku, Kisah Seorang Biduan, Bintang Pujaan, Langit Petang, Esok Untuk Siapa, Gila-Gila Remaja dan banyak lagi merupakan sentuhan Ahmad Nawab sebagai pencipta lagu dan komposer. 

Allahyarham juga telah memenangi Anugerah Lagu Tema Terbaik FFM1 (Tangisan Hati Yang Derita), Lagu Tema Terbaik FFM2 (Setulus Cintamu) dari filem Bintang Pujaan, Skor Muzik Terbaik FFM3 menerusi filem Penentuan dan pengiktirafan khas Anugerah Penggiat Belakang Tabir di FFM31 daripada FINAS ini membuktikan beliau antara seniman 'satu dalam sejuta'

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh

Sumber berita dipetik dari Bernama dan diolah oleh Amy Ikram.

Catat Ulasan

0 Ulasan