Bukan mudah untuk menerbitkan album solo ketika ini. Penerbitan sesebuah album selalunya memakan masa terlalu lama malahan penghasilannya juga menelan kos terlalu besar sehinggakan ada syarikat rakaman tidak mahu menanggung risiko bahkan terus melupakan hasrat sekalipun ia hanya sebuah album fizikal.
Bagi penyanyi Amir Masdi, penerbitan album amat penting sebagai khazanah muzik masa depan namun penghasilannya bersama komposer ternama, Edry Abdul Halim adalah momen terpenting kerana 12 lagu yang dimuatkan dalam album terbaru berjudul AM:PM adalah karya muzik yang lahir dari hati untuk tatapan peminat muzik keseluruhannya.
Album kedua Amir Masdi selepas yang pertama diterbitkan sekitar Julai tahun lepas, AM:PM yang dilancarkan baru-baru ini antara album solo terbaharu Amir yang menterjemahkan pelbagai emosi dan pengalaman hidup Amir Masdi. Pendengar akan dapat menikmati perjalanan muzik yang dinamik dan penuh variasi melalui lagu-lagu yang dicipta khas untuk membawa mereka melalui pengalaman emosi yang berbeza.
Menerusi album ‘AM:PM’ ini juga, Amir bukan sahaja mempersembahkan vokal mantapnya tetapi juga memperlihatkan kemampuannya sebagai pencipta lagu dan penerbit bersama penerbit terkemuka, Edry Abdul Halim.
Amir, 28, atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi berkata album ini sebuah naskah yang sangat istimewa kerana diberi peluang untuk menulis lagu daripada ‘zero’ sehingga ia diterbitkan.
Menurutnya, kesemua lagu dalam album ini mula ditulis bersama komposer ternama, Edry Abdul Halim yang turut bertindak selaku penerbit pada November tahun lalu yang mana fasa satu membabitkan konsep, hala tuju dan apakah jenis lagu yang ingin ditulis.
“Pada Februari tahun ini, saya dan pasukan menggunakan duit yang kami kumpul hasil daripada persembahan yang saya buat selama ini untuk bergerak ke fasa seterusnya. Kemudian, pada bulan Mac kami terbang ke Manchester, United Kingdom untuk merealisasikan dan mengejar impian untuk terbitkan album kedua yang dirakam di Volta Lab Studios, Rochdale, Manchester.
“Sepanjang 18 hari berada di sana, kami tulis kesemua 12 lagu selain merakamkan vokal dan video muzik. Jadi, perjalanan untuk menghasilkan album ini sangat istimewa buat saya selain memberikan inspirasi buat saya untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Berkongsi mengenai pemilihan nama album, Amir berkata ia menggabungkan namanya Amir Masdi (AM) dan Projek Manchester (PM).
“Pada awalnya, kami namakan album ini sebagai Projek Manchester. Kemudian, sepanjang perjalanan dan proses rakaman album itu, kami dapat idea AM:PM. AM adalah Amir Masdi dan PM adalah Projek Manchester. Jadi, kami gabungkan menjadi AM:PM.
Album yang dirakamkan di sebuah studio terkenal di England iaitu di Volta Studios, Rochdale, Manchester itu memberikan definisi bahawa kuasa muzik itu terlalu luas, malahan penghasilannya bakal memberikan pengalaman baharu buat Amir walaupun AM:PM diterbitkan sepenuhya oleh Edry Abdul Halim.
Ketika bercakap mengenai pengalaman merakamkan album ini, Amir dengan nada teruja berkata, sebagai penyanyi tempatan, beliau sangat gembira apabila Edry memaklumkan rakaman akan dibuat di sana dan saya perlu laksanakan rakamannya sebaik mungkin.
"Kami terbang ke Manchester demi merealisasikan dan mengejar impian untuk terbitkan album kedua ini. Walaupun agak mencabar, namun kami berjaya habiskan rakaman dalam masa yang singkap tanpa mengenepikan kualiti malahan Edry seorang yang sangat teliti terhadap naskhah muzik yang ditonjolkan. Seperkara lagi, album ini memuatkan sejumlah 12 lagu. Namun, saya lancarkan dulu bahagian AM pada bulan Oktober yang mengandungi enam lagu dan lagu-lagu pada bahagian PM pula bakal dilancarkan tahun depan. Saya merasakan ini satu lagi keunikan album ini,” katanya.
Album ‘AM’ memampilkan lagu-lagu “Luar Kotak”, “Calar”, “Take Me Home”, “Langit Biru”, “Bakal Kekasih” dan “Nur Cinta”.
Selain dalam bentuk fizikal, album ini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Menariknya lagi, sebelum album dilancarkan lagi, lagu “Nur Cinta” telah dipilih sebagai lagu OST utama drama rantaian 36-episod, ‘Andai Tiada Dia’ terbitan Global Station yang akan bersiaran di Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam bermula 21 Oktober yang lalu.
Diterbitkan oleh AR United Music, syarikat rakaman milik Amir sendiri dan diedarkan oleh Nova Music, AM:PM meletakkan harapan agar ia menjadi sebuah album terbaik dalam karier Amir Masdi selepas 8 tahun mewarnai industri muzik tempatan.
Manakala menurut komposer, penerbit muzik, pengarah, pelakon dan anggota KRU, Edry Abdul Halim ketika ditemui media di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, sebagai komposer, beliau terharu dapat bekerjasama dengan Amir. Malahan kerjasama mereka bukan di sini sahaja tetapi mungkin akan menyusul untuk projek seterusnya.
"Saya menyifatkan kerjasama ini adalah sebagai mencipta momen dalam industri muzik. Bekerja bersama Amir untuk projek ini cukup menyeronokkan kerana kami dapat berkarya sebaik mungkin untuk peminat muzik yang dahagakan lagu-lagu ciptaan saya kembali walaupun dinyanyikan Amir.
"Buat anda hayatilah AM:PM dengan penuh terbuka, anda pasti menyukainya. Untuk Amir, moga terus terbang tinggi dan jangan putus asa untuk jadi yang terbaik," katanya.
0 Ulasan