DARI 'KUASA' KE PENTAS GV

Selepas mencipta fenomena sedekad yang lalu sehingga menjadi sebuah rancangan realiti nyanyian nombor satu di Malaysia, Astro menerusi ‘Gegar Vaganza’ (GV) kini kembali dengan permulaan baharu dalam musim kesebelasnya.

Menggandingkan gabungan dari penghibur terkemuka Malaysia, Indonesia dan Singapura, musim terbaharu ini kembali ke rumpunnya untuk terus menjadi platform yang menggamit semula zaman kegemilangan mereka dalam industri muzik. Gabungan ini menimbulkan keresahan seterusnya menjadi persaingan sihat antara ke-14 bintang yang bakal mencipta sejarah dan fenomena terbaharu dalam abad yang cukup mencabar.

Menariknya kali ini adalah menyaksikan himpunan 14 bintang yang pernah popular suatu ketika dahulu. Kemunculan mereka di GV11 tahun ini pastinya menggamit kenangan dan memori tersendiri sehingga menjadi satu cabaran baharu bagi kesemua bintang yang bertanding.

Bakal menemui penonton di saluran Astro Ria (104) bermula pada 24 November ini, Gegar Vaganza ke-11 (GV11) bakal dipancarkan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam jam 9 malam. Antara bintang-bintang GV11 yang bakal bersaing adalah Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri, Ning Baizura, serta legenda dari Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif. 13 penyanyi solo dan sebuah kumpulan bakal meriuhkan kembali pertandingan realiti nyanyian tersohor ini dengan cabaran sengit dan kehebatan nyanyian masing-masing. 

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad berkata GV11 yang kembali pada tahun ini adalah atas kehendak penonton yang mahu menyaksikan bintang-bintang legenda evergreen di dalam satu pentas. Kemunculan mereka amat dinantikan namun pastinya ia bakal mencipta lanskap baharu dalam dunia penyiaran tanah air.

“Sokongan dan kasih sayang yang diberikan selama sedekad, hingga ke hari ini, amatlah kami hargai. Juara di antara juara sudah pun kami nobatkan. Kini, kami kembali ke asal usul GV iaitu dengan membawa kembali penyanyi-penyanyi yang pernah tular atau evergreen ke pentas prestij. Tidak lekang di mulut penggemar- penggemar muzik, bintang-bintang ini pernah mencipta sejarah dengan lagu-lagu serta bakat mereka.

Malah, ada di antara lagu-lagu mereka yang masih menjadi pilihan di mana-mana. Kami amat berbangga kerana barisan peserta pada musim kali ini merupakan antara nama-nama terbesar di persada muzik tempatan dan serantau. Ternyata GV masih mampu menarik penyertaan bintang-bintang besar, lantas menunjukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk para peminat tetapi juga artis-artis di serantau Malaysia, Indonesia dan Singapura, katanya.

“Namun sebagai peminat muzik, Astro bakal memulakan GV11 dengan nafas baharu, tetapi ia masih mengekalkan kesengitannya di antara semua peserta. Legenda bertemu legenda, semuanya mempunyai latar belakang kejayaan yang hebat dalam bidang nyanyian. Namun hanya vokal, aura dan persembahan mereka sahaja yang dipertaruhkan. Siapakah yang akan menyambung takhta GV pada musim kali ini? Semuanya akan terjawab di pentas gah GV11 yang pastinya akan kembali menggemakan dewan konsert kelak. Kami yakin musim terbaharu ini bakal mengejutkan para penonton dengan kehebatan mereka, sekaligus membawa para penonton ke memori lalu ketika zaman kegemilangan mereka. GV11 bakal beri kepuasan hiburan maksima kepada penggemar-penggemar rancangan realiti nyanyian signature kami,” tambah Raqim. 

Apa yang istimewanya GV11 adalah kemunculan barisan juri masih kekal bertahan iaitu Dato’ Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang. Rancangan ini turut membawa kembali duo kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara.

Dari kesemua bintang yang bertanding, GV11 kali ini amat istimewa kerana ia meletakkan Ning Baizura dan Liza Aziz sebagai peserta. Kemampuan vokal Ning Baizura dan Liza Aziz tidak perlu dipertikaikan, malahan aura Liza Aziz umpamanya amat besar impaknya kerana anak kepada seniman seniwati tersohor Aziz Jaafar dan Normadiah ini bukan calang-calangnya malahan semua pun tahu Liza mempunyai kekuatan vokal yang lebih baik dan mampu menggugat semua bintang yang tercalon.

Kemunculan semula bekas vokalis kumpulan popular Q-Face, Fairuz Selamat juga menjadi perhatian malahan beliau merupakan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak.

‘Gegar Vaganza 11’ yang akan berlangsung selama 12 minggu ini boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang fleksibel. GV11’ masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri professional. Peserta yang mendapat markah terendah pada akan disingkirkan.

Penganjuran edisi kesebelas ini dimeriahkan dengan Farm Fresh sebagai penaja utama, di samping CelcomDigi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi, CUCKOO dan Uphamol turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama. Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, naib juara pula akan meraih RM50,000, tempat ketiga akan menerima RM30,000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.

Catat Ulasan

0 Ulasan