DATUK S ATAN DALAM KENANGAN

Komposer terkenal Datuk S Atan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru, Selangor petang tadi akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Berita pemergian S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said disahkan sendiri isterinya Datin Norizan Yeob ketika dihubungi Bernama.

“Ya, suami saya telah menghembuskan nafas terakhir di rumah,” katanya ringkas.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia Sandakiah Azez memaklumkan Allahyarham yang berasal dari Singapura sudah lebih sebulan sakit dan pernah mendapatkan rawatan di hospital pada September lepas.

“Sejak daripada itu, saya dan ahli persatuan kerap menziarahi Allahyarham di rumahnya. Beliau terpaksa menggunakan bantuan alat pernafasan dan percakapannya juga tidak berapa baik.

“Datin Norizan memaklumkan kesihatan suaminya semakin merosot sejak semalam,” katanya.

Sandakiah turut memaklumkan urusan pengkebumian jenazah, termasuk solat jenazah dijangka dilakukan pada esok pagi.

S Atan cukup terkenal dengan sentuhan lagu Melayu Deli yang dirakam penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

Antara lagu raya popular malar segar ciptaannya ialah Menjelang Hari Raya dendangan Datuk DJ Dave; Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman); Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone); Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah); Hari Mulia (Dato'  Sheila Majid) dan Indah Beraya di Desa (Azlina Aziz).

Selain itu, antara penyanyi tempatan yang mendapat khidmat Allahyarham adalah Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza, Carefree, Black Dog Bone dan ramai lagi. 

Namun menurut adik Allahyarham, Fatah Hasan Said atau Belle, 66, yang merupakan penulis lirik kebanyakkan lagu ciptaan S Atan menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat cintakan karier muzik dan seni yang diperjuangkan. Malahan komposer hebat itu dalam proses penerbitan sebuah album artis baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Memang kami dalam proses  menyiapkan album seorang artis wanita baharu. Dari lapan lagu, arwah sempat siapkan tiga buah lagu manakala saya dua buah lagu. 

"Arwah seorang yang sangat komited. Dalam keadaan dia yang tidak sihat pun tetap berkarya demi industri. Beruntung penyanyi wanita itu nanti kerana mendapat karya muzik terakhir ciptaan S Atan," katanya.

Dalam pada itu, Belle menyifatkan kehilangan S Atan adalah kehilangan besar buat industri seni dan muzik tempatan. 

Namun bagi penerbit program dan penulis kreatif, Amy Ikram berkata, Allahyarham seorang yang sangat teliti, tegas dan mempunyai prinsip yang amat berbeza dengan kebanyakkan insan seni yang dikenalinya. 


Menurutnya, semasa menyiapkan rakaman sebuah dokumentari lagu Melayu klasik sekitar 12 tahun yang lalu, Allahyarham mengingatkan tentang kualiti sesebuah lagu Melayu malahan berkata sebagai penyanyi atau komposer muda, elakkan mencampuradukkan Bahasa Inggeris dengan seni kata Melayu dalam penerbitan sesebuah karya.

"Lagu Melayu sama ada lagu raya atau sebaliknya, harus mempunyai prinsip di mana penghasilannya mesti 'Melayu' bukan campur 'rap', bahasa rojak kerana ia biadap dan tidak menghormati seni dan budaya dalam sesebuah karya.

"Jangan kerana mengikut trend, kita kehilangan maruah dan jati diri dalam sesebuah karya muzik," kata Allahyarham Datuk S Atan kepada Amy Ikram semasa proses akhir rakaman temu bual bagi Video Fragmen Muzik Satu Legasi yang diterbitkan FINAS sekitar dua tahun yang lalu. 

Akan tetapi setiap kenangan dan memori yang tercipta bersama akan terpahat di dalam sejarah dan akan dikenang sebagai memori 'termahal' dalam kamus hidupnya dan tidak akan berulang kembali.

Jenazah Allahyarham Datuk S Atan akan dikebumikan pada pagi Ahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan dekat Kajang.

Sumber berita dipetik dari Bernama dan diubah suai oleh Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan