Bukan mudah saat ini untuk melahirkan album fizikal tatkala industri muzik tempatan beralih ke fasa digital sepenuhnya. Penerbitan album dalam format ini biasanya diteruskan oleh segelintir penyanyi sahaja, malahan ada yang melakukannya demi peminat walaupun penerbitannya sedikit tidak menguntungkan tetapi format sebegini perlu diteruskan sekalipun kita sudah menginjak ke fasa baharu.
Apabila industri muzik beralih ke era digital, sememangnya kita lebih senang untuk mengedarkan dan memiliki muzik itu, namun apa yang perlu kita fahami adalah teknologi ini juga akan ada kekurangan, sepertimana kata Allahyarham Datuk S Atan, jika seseorang penyanyi itu hanya mahu menerbitkan album secara digital sahaja, ia agak merugikan untuk khazanah seni muzik negara.
"Awak cuba bayangkan sekiranya satu hari nanti muzik digital ini akan hilang. Dan Jika awak sebagai penyanyi hanya menerbitkan album secara digital sahaja dan ia hilang dalam simpanan, bagaimana awak nak mengaku yang awak adalah penyanyi yang mempunyai album sedangkan awak langsung mengetepikan fizikal?.
"Ini penting untuk khazanah muzik negara. Awak tanyalah mana-mana penyanyi legenda yang masih hidup sekalipun, kenapa fizikal ini penting?," kata Allahyarham dengan nada sebak.
Atas sebab mahu berkongsi sesuatu yang istimewa untuk dijadikan koleksi peribadi, penyanyi Dayang Nurfaizah kembali menghasilkan album terbaharu. Janji album studio ke-11 Dayang yang diterbitkan DN & AD Entertainment Sdn Bhd dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia itu sudah mula berada di pasaran secara fizikal selain format digital.
Lebih daripada sekadar tajuk album, 'Janji' melambangkan pengisytiharan kuat terhadap komitmen Dayang kepada peminat dan dirinya sendiri. Malahan berjanji untuk tidak pernah menyerah dalam perjalanan seni dan terus menyajikan muzik terbaik. Album ini menjadi bukti dedikasi dan semangat Dayang yang tiada henti terhadap seni muziknya.
Album terakhir Dayang...
Album yang menandakan perjalanan 25 tahun yang luar biasa dalam industri muzik, Dayang Nurfaizah yang mesra disapa sebagai Dayang oleh peminatnya berkata, Janji merupakan album studio ke-11 yang terakhir diterbitkan dalam bentuk fizikal dari Dayang selepas album Belagu yang dilancarkan dua ke tiga tahun yang lepas.
“Mungkin ini yang terakhir dari Dayang bagi melengkapkan 11 buah album Dayang yang diterbitkan secara fizikal. Bukan untuk menidakkan tentang kepentingan album fizikal, tetapi apa yang kalian tahu, tidak semua tempat menawarkan khidmat itu lagi.
”Dayang hasilkan Belagu kemudian terbaharu Janji adalah bagi memuaskan hati peminat-peminat Dayang yang mahu memiliki album terbaharu Dayang secara fizikal. Album ini memuatkan koleksi gambar yang sangat cantik. Agak sedih jika Dayang hentikan di sini namun jika ada rezeki dan permintaan lagi, mana mungkin untuk Dayang menolak,” katanya.
Janji adalah komitmen Dayang terhadap legasi seni muzik di mana album terbaharunya ini dicetak secara terhad dengan 13 poskad bergambar mengandungi 13 buah lirik lagu.
Peminat muzik yang merindui penerbitan album sebegini, wajar memiliki album Janji yang cukup eksklusif ini. 'Janji' menampilkan koleksi 13 lagu yang disusun teliti oleh Dayang dalam susunan tertentu, membawa pendengar melalui perjalanan emosi dalam saat-saat paling bermakna dalam kehidupan; daripada patah hati kepada penyembuhan, kelemahan kepada kekuatan, serta kesakitan kepada ketabahan; dengan cinta sebagai sumber kekuatan utama.
Album ini menyulam pelbagai melodi menyentuh jiwa, lagu-lagu anthem yang penuh kemenangan dan balada intim, di mana setiap satunya dipilih untuk menjadi teman setia melalui pelbagai musim emosi dalam hidup, memberikan sesuatu yang istimewa untuk setiap kisah peribadi peminat.
Single utama album ini bertajuk “Lemah”, hasil ciptaan penyanyi dan pencipta
lagu yang juga penerbit terkenal Hael Husaini, dilancarkan pada 18 Oktober 2024
bersama video muzik memukau yang telah menyentuh emosi ramai. Kekuatan emosi
dalam lagu dan visualnya menerima pujian meluas, di mana pendengar terhubung
dengan mesej tulus dan penyampaian seni yang luar biasa.
Vokal penuh penghayatan Dayang dan penceritaan sinematik dalam video tersebut mencipta pengalaman muzik yang menggetarkan, mempamerkan keunggulan seni yang menjadi tanda aras karier gemilang Dayang.
Melanjutkan momentum ini, Janji menghimpunkan barisan bakat muzik yang mengagumkan. Album ini menampilkan kolaborasi bersama penerbit dan penulis lagu ternama seperti Aubrey Suwito, Ajai, Audi Mok, Najwa Mahiaddin Aisha Retno dan ramai lagi. Setiap penyumbang membawa visi seni unik mereka, memperkaya landskap muzik album sambil mengekalkan identiti Dayang yang tersendiri.
Salah satu sorotan bermakna dalam Janji ialah lagu ‘Mencintai Cinta’, ciptaan Ajai dengan lirik oleh Allahyarham Iman Imran. Sebagai penulis lirik yang sebelumnya mencipta hit anugerah Dayang seperti ‘Di Pintu Syurga’ dan ‘Lelaki Teragung’, karya terakhir ini ditulis sebelum pemergiannya pada tahun 2022. Lagu ini menyerlahkan vokal penuh jiwa Dayang, komposisi melodi Ajai dan penceritaan penuh makna oleh Iman Imran sebagai bukti kolaborasi seni yang sangat bermakna.
Sebagai penghormatan kepada Allahyarham Iman Imran, yang menjadi tokoh penting bukan sahaja dalam muzik Dayang tetapi juga sebagai penyokong setia dan sahabat yang dikasihi, album ini memuatkan lapisan makna yang sangat peribadi dan menyentuh hati.
Sebagai penghargaan kepada peminat setianya dan perjalanan bersama mereka, Dayang menyusun semula lagu ‘Hakikat Cinta’, single debutnya yang dilancarkan pada tahun 1999 dan menjadi kegemaran sepanjang masa. Dihasilkan oleh Genervie Kam, versi baru ini meraikan perjalanan 25 tahun Dayang, menawarkan kenangan indah untuk pendengar lama sambil menampilkan evolusi vokal dan seni muziknya. Gabungan sempurna antara masa lalu dan masa kini ini menghubungkan akar Dayang dengan gaya muzik semasanya.
Pemenang Golden Teen Seach tahun 1997, Dayang Nurfaizah dalam satu kenyataan media berkata, peminat merupakan tulang belakang kejayaannya, malahan album terbaharunya ini berjudul, Janji adalah terjemahan Dayang bagi membuktikan tanpa sokongan peminat, mana mungkin seseorang artis itu boleh terbang jauh.
“Sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi adalah nadi muzik Dayang. Merekalah sentiasa bersama Dayang dalam saat suka dan duka, dan kepercayaan mereka jua menjadi inspirasi Dayang yang berterusan. Terima kasih kerana menjadi peminat terbaik Dayang yang boleh diminta. Inilah kenangan yang Dayang tidak akan lupa dan terimalah Janji Dayang untuk anda, peminat Dayang yang banyak menyokong karier Dayang. Dayang Sayang Kamu,” katanya.
0 Ulasan