Filem paling dinanti-nantikan tahun 2024, Kahar: Kapla High Council telah berjaya meraih kutipan RM 1 juta pada tayangan awal dan hari pertama filem tersebut ditayangkan. Watak Kahar lakonan Amir Ahnaf dengan gandingan pelakon Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Khenobu, Thompson, Husyairi Hussain dan Hasnul Rahmat telah mendapat pujian daripada penonton kerana keberkesanan ‘menghidupkan’ karakter di layar perak. Rata-rata di media sosial menyatakan perjalanan emosi dan konflik yang dipersembahkan berjaya meninggalkan kesan kepada penonton.
Tinjauan komen di beberapa platform media sosial, rata-rata penonton serta pengguna akaun masing-masing mengatakan filem ke-9 arahan Razaisyam Rashid ini sebagai sebuah karya gempak bagi penutup tahun 2024.
"Just watched Kahar: Kapla High Council and I have to say, the story was actually great! I went in with low expectations, but surprisingly, the movie was 💯🤞🏻✨ Applause to Amir Ahnaf and the entire cast!” - @cheeseretard; “What a prequel/sequel for High Council series. Lain mcm filem ni, camera work dgn cinematography lawa gila. Walau 1h42min je tapi padat dgn story yg menarik. Lakonan pun mmg top. Dapat closure utk character kahar” - @hzlmy14; “KAHAR: Kapla High Council terbaik. Congrats Razaisyam on your neverending achievement. 10/10” - @ViolaAstorre.
Sementara itu, tinjauan di beberapa pawagam tanah aur mendapati, filem Kahar : Kapla High Council kini berada di tangga pertama di carta Top 10 GSC, dan sekali gus mengenepikan filem-filem antarabangsa.
Diarahkan oleh Razaisyam Rashid, manakala skrip ditulis oleh ‘creator’ Project : High Council, Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain, filem Kahar : Kapla High Council telah mula temui penonton di pawagam menerusi tayangan awal pada 27 November dan semalam merupakan tayangan rasmi di beberapa pawagam seluruh negara.
Menurut Penerbit Eksekutif Kahar : Kapla High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem ke-62 terbitan Astro Shaw ini memberikan dimensi baharu terhadap dunia pembikinan filem melalui kisah remaja, alam persekolahan dan pergaulan antara satu sama lain bukan bertujuan untuk diikuti malahan memberikan petunjuk bahawa inilah realiti yang cuba dipaparkan menerusi kisah-kisah hitam masyarakat di Malaysia.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penonton yang telah menonton filem Kahar : Kapla High Council di pawagam. Kami amat terharu dengan sokongan penonton dan menjadikan filem ini meraih kutipan RM1 juta di hari tayangan awal dan hari pertama. Watak Kahar sekali lagi berjaya mencuri perhatian penonton dan bagi kami Kahar bukan sekadar watak, tetapi simbol kepada mesej anti keganasan. Kami mengharapkan permulaan baik ini dapat membawa momentum positif yang berterusan sekali gus mencipta kejayaan luar biasa," katanya.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, HM Entertainment dan ZAK Capital, Kahar: Kapla High Council bukan sekadar mempertaruhkan jalan cerita dengan babak-babak yang mengundang keterujaan, filem berdurasi 102 minit ini mengangkat isu buli yang berlaku di kalangan remaja. Ia turut membicarakan isu kritikal seperti kepentingan institusi kekeluargaan kepada pembangunan diri seseorang dan menekankan mesej kekerasan bukanlah jalan penyelesaian.
Kahar : Kapla High Council mengisahkan tentang Kahar, seorang pelajar tingkatan 4 sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT). Seorang yang pendiam dan kerap menyisihkan diri, dia sering berasa tertekan kerana bapanya, Dato Abu Yamin, meletakkan harapan begitu tinggi terhadapnya. Keadaan semakin meruncing apabila dengan tidak sengaja, Kahar terjerumus dalam pemilihan ketua tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar. Kemenangan Kahar membuatkan dia leka dengan kedudukannya itu.
Filem yang mengangkat isu remaja di kalangan penonton terhadap anti keganasan ini sudah bersedia untuk bertemu peminat secara dekat. Jangan lepaskan peluang untuk temui barisan pelakon filem ini menerusi siri jelajah Kahar : Kapla High Council pada 29, 30 November & 1 Disember di Kedah, Penang, Perak; 6, 7, 8 Disember di Negeri Sembilan, Johor Melaka; 13, 14, 15 Disember di Terengganu, Pahang.
0 Ulasan