Bukan mudah untuk menyatukan kelima-lima bintang ini di atas satu panggung. Kemunculan mereka menerusi persembahan eksklusif pada 9 November lalu dianggap sebagai momen bersejarah yang penting di dalam industri kreatif tempatan.
Penganjuran Konsert Amal MPO : Resonance For A Reason yang dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini menyaksikan Dato’ M Nasir, Dato’ Sheila Majid, Misha Omar, Aina Abdul dan Amir Jahari berkongsi pentas bagi menghiburkan lebih 900 penonton yang hadir.
Penampilan penyanyi Amir Jahari di awal pembukaan konsert dengan dua buah lagu iaitu Kenangan dan Hasrat digubah semula oleh Ilham Subri dan Azhad Sulaiman itu membuktikan Amir antara penyanyi muda berbakat luar biasa yang mampu memukau penonton hanya dengan lontaran suaranya diiringi muzik orkestra yang dipimpin oleh konduktor terkemuka DFP, Ahmad Muriz Che Rose.
Apa yang boleh dikatakan adalah Amir Jahari beruntung kerana mendapat peluang untuk beraksi kali pertama dengan barisan pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di sebuah panggung yang menjadi idaman kebanyakan penyanyi tempatan malahan luar negara.
Menurut Amir, beliau sangat teruja ketika dihubungi pengurusan DFP untuk bersama-sama menghiburkan penonton dalam konsert amal ini. Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu juga menampilkan penyanyi bersuara emas, Misha Omar melantunkan tiga buah lagu popularnya.
Dendangan lagu bertajuk Cinta Adam & Hawa, Sampai Bila dan Bunga-Bunga Cinta bukan sahaja meresahkan jiwa penonton malahan didapati rata-rata hadirin yang berada di dalam dewan turut sebak mendengarkan betapa merdunya suara Misha Omar diiringi Orkestra MPO yang bukan calang-calang auranya.
Kata Misha, beliau sangat gembira kerana dapat menyanyi kali pertama di sini walaupun hanya tiga lagu namun berharap satu hari nanti beliau dapat kembali mengadakan persembahan istimewa ini semula dalam kapasiti yang lebih besar diiringi Orkestra bertaraf antarabangsa ini.
Kemunculan Aina Abdul dengan busana yang agak ringkas mempersembahkan hampir lapan buah lagu secara medley dan dua buah lagu solo membuktikan aura Aina sebagai penyanyi wanita gemar berfesyen pelik ini mempunyai kemampuan vokal yang sangat luar biasa.
Lagu-lagu seperti Puas Sudah, Kamu, Listen, At Last, You Make Me Feel Like A Natural Woman, Hero, When You Believe dan I'm Surrender dendangan Aina dengan kombinasi muzik Orkestra MPO sentuhan Azhad Sulaiman, Mac Chew dan Gerard Salonga ini memberikan potensi betapa hebatnya definisi muzik secara live orkestra dengan vokal pemenang World Championsip of Performing Arts (WCOPA), Los Angeles Aina Abdul ini.
Menarik dan hebatnya konsert ini adalah apabila kelibat Dato' M. Nasir dan Dato' Sheila Majid muncul di pentas. Membawakan lima buah lagu di mana tiga buah lagu secara medley, Dato' M. Nasir berjaya memukau penonton menerusi seleksi lagu-lagunya seperti Express Rakyat (Medley), Suatu Masa serta Bonda seterusnya Hukum Karma dan Pawana secara medley.
Dengan kelunakan suara dan usikan nakal Ratu Jazz Negara, Dato' Sheila Majid pada penonton, Pelantun suara Sinaran itu membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk bagi mendengarkan seleksi lagu-lagu malar segarnya seperti Gemilang, Sinaran, Bila Larut Malam & Jelingan Manja (Medley P.Ramlee) dan Jentayu menampilkan duetnya bersama penyanyi Aina Abdul.
Konsert Amal MPO : Resonance For A Reason yang diadakan buat julung kalinya ini adalah untuk mengutip dana bagi membantu golongan seni professional yang mempunyai bakat luar biasa untuk diketengahkan ke pasaran luar. Konsert yang dianjurkan dengan gabungan MPO ini bukan sahaja menampilkan ketinggian bakat pemuziknya tetapi lebih daripada itu; MPO mengambil tanggungjawab membentuk dan melatih bakat baharu dalam usaha membina masa depan yang lebih cerah bagi industri muzik di Malaysia melalui perkongsian ilmu dan kepakaran pemuziknya. Matlamat MPO adalah untuk memupuk apresiasi muzik di kalangan belia dan mempromosikan muzik klasikal dan tempatan kepada semua lapisan masyarakat.
Menerusi Konsert Amal ini juga, MPO berharap ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap program pembangunan bakat MPO dalam menyokong bakat tempatan menerusi pementoran dan bimbingan yang berterusan. MPO menyeru orang ramai untuk terus menyokong kelestarian program pembangunan bakat ini supaya kita bersama-sama dapat memberi inspirasi dan mengubah landskap seni negara melalui kuasa muzik sebagai pemangkin kekayaan budaya.
Di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose sebagai konduktor MPO, konsert ini juga telah menampilkan bakat Orkestra Filharmonik Belia Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Youth Orchestra), produk hasil daripada komitmen dan dedikasi MPO menyokong pemuzik tempatan, sekali gus menjadikan muzik sebagai satu 'legasi' yang akan terus hidup sepanjang zaman.
Kredit Gambar: Orkestra Filharmonik Malaysia, DFP.
0 Ulasan