MAMPUKAH JANGAN PANDANG BELAKANG 2 CETUS FENOMENA?

Jika 17 tahun dahulu, tayangan filem ini mencipta fenomena luar biasa sehingga menjadi filem Box Office tempatan dengan kutipan RM7.4 juta, adakah Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu ditangan Pierre Andre mampu menarik penonton sepertimana karya kelima arahan Ahmad Idham tersebut dengan judul Jangan Pandang Belakang?

Walaupun pada ketika itu Pierre hanya bertindak sebagai pelakon dan penulis skrip, namun kali ini berbeza pula apabila filem ke-111 terbitan Metrowealth Pictures, Jangan Pandang Belakang 2 diarahkan sepenuhnya oleh beliau sendiri sekali gus menjadikan filem ke-21 arahannya selepas 9 September, I'm Not Single, Jangan Tegur, Al-Hijab, Chantek, Highland Tower dan banyak lagi. 

Jangan Pandang Belakang 2 merupakan filem prekuel kepada filem Jangan Pandang Belakang yang pernah diterbitkan tahun 2007 ini mengisahkan sebuah keluarga yang memiliki Saka. Mak Lang, pemilik Saka yang meninggal dunia akibat sakit tua ini telah mencetuskan kejadian pelik sehingga menyebabkan keluarga Mak Lang huru-hara. Lynn pula menjadi sasaran selepas mengalami pelbagai gangguan dan perlu menghadapi banyak kejadian misteri yang menganggu kehidupan sehariannya.

Pertemuan semula dengan Hafiz dan Dr.Azim telah membuatkan hidup Lynn bertambah kucar-kacir. Dapatkah Lynn merungkai gangguan yang dialami dan bagaimana pula dengan saka keluarganya?.

Jika diimbau kembali pada filem Jangan Pandang Belakang arahan Ahmad Idham tersebut, penonton dibawa menyaksikan beberapa babak seram dengan elemen jump scare bertubi-tubi dengan kemunculan beberapa makhluk hodoh yang menakutkan. Cuma, kali ini ditangan Pierre, Jangan Pandang Belakang 2 dilihat agak kemas untuk penonton membayangkan bagaimana rupa para makhluk halus atau jin yang dimaksudkan?.

Pierre bijak mewujudkan elemen seram dengan menarik penonton untuk tidak berganjak dari tempat duduk untuk menyaksikan kesudahan cerita yang dipaparkan. Penggunaan muzik sangat teliti dibantu dengan penataan bunyi yang boleh menyentak rasa sekali gus meresahkan penonton yang menonton filem ini.

Walaupun kita lihat dalam kebanyakan karya seram yang ada, penonton mungkin lebih suka untuk menonton pertukaran babak seram yang lebih cepat, tetapi untuk Jangan Pandang Belakang 2 ini dilihat agak perlahan sekali gus membuktikan Pierre bukan pengarah sebarangan namun setiap babak itu diperhalusi dengan sebaik mungkin kerana filem seram yang bagus tidak semestinya menunjukkan imej hantu berulang atau penonton disogokkan dengan paparan jin atau mahkluk jadian yang ada sedikit menganggu pandangan walaupun ia muncul secara logik mahupun khayalan semata-mata.

Menurut Pierre Andre, yang merupakan anak kepada pelakon wanita berkaliber, Khadijah Tan berharap penonton tempatan menyukai Jangan Pandang Belakang 2 versi beliau yang mungkin sedikit berbeza dengan naskhah asal arahan Ahmad Idham tersebut.

"Saya tidak boleh menafikan akan ada perbandingan daripada penonton antara naskhah pertama dengan kedua, namun sebagai pengarah, saya cuba memberi visual yang sebaik mungkin bagi menimbulkan mood tontonan yang bagus.

"Jangan Pandang Belakang 2 ini adalah kesinambungan dari cerita keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk mendampingi saka sehingga terjadi suatu kejadian pelik yang menyeramkam. Saya berharap filem ini mendapat sambutan yang baik dari penonton," katanya.

Namun bagi penerbit filem terkemuka, David Teo yang merupakan Pengarah Urusan MiG dan Metrowealth Pictures ini menyifatkan karya Pierre Andre kali ini lebih bagus dari sebelumnya.

"Sudah tentu saya berharap filem ini lebih baik dari karya pertama arahan pengarah lain. Walaupun sama genre, tetapi kisah kedua ini ia membawa penonton mendalami beberapa babak penting yang sedikit mencuit rasa.

"Saya tahu penonton akan membuat perbandingan, tetapi untuk Jangan Pandang Belakang 2 ini saya percaya anda pasti menyukainya kerana kita menyajikan beberapa babak seram yang sedikit lain dan sudah tentu ia mampu mencipta kegemilangan karya Pierre sebelumnya," katanya kepada wajib tonton.

Menampilkan lakonan hebat Khadijah Tan, Emma Maembong, Iedil Dzhuhri Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Ruminah Sidek dan ramai lagi, Jangan Pandang Belakang 2 sudah bermula tayangannya sejak semalam, 21 November 2024.

Jangan Pandang Belakang 2, filem wajib tonton, 4/5

Catat Ulasan

0 Ulasan