Selepas program Pencarian Lelaki Maskulin dan Hero Remaja, pelanggan Astro bakal dihidangkan satu rancangan terbaharu yang menggabungkan 12 lelaki terhangat yang diuji dalam beberapa segmen untuk mencari 'bro' yang terbaik.
Maskulin Who’s Your Bro, rancangan realiti inovatif hasil kerjasama Astro dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd, akan menemui penonton di saluran Astro Ria bermula 29 November 2024, setiap Jumaat jam 9 malam. Menampilkan 12 bro lelaki sebagai tonggak utama, rancangan ini mengupas makna sebenar ketahanan diri dan solidariti melalui gabungan cabaran fizikal, perjalanan emosi, dan kerjasama dinamik.
Direka untuk membawa penonton melangkaui batas fizikal, program ini menawarkan perspektif baharu dalam genre realiti TV dengan naratif yang universal tentang keberanian, kepimpinan, dan kekuatan mental. Lima lokasi menarik di seluruh Malaysia menjadi medan cabaran, setiap episod menjanjikan pengalaman unik yang memadukan aksi mendebarkan dengan elemen strategi dan dinamika hubungan.
Penonton akan menyaksikan bagaimana 12 peserta, dipasangkan menjadi duo dinamik, mengharungi cabaran yang menguji ketahanan dan persahabatan sejati mereka. Dengan pendekatan yang segar dan autentik, rancangan ini berusaha mengubah persepsi dan menampilkan nilai baharu tentang maskuliniti dalam hubungan persaudaraan lelaki.
Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Ria ketika ditemui media berkata, program yang bakal melahirkan personaliti lelaki idaman ini akan membawa penonton mendalami kehidupan golongan lelaki dengan cabaran terbaharu, sekali gus menjadikan antara rancangan kegemaran rakyat Malaysia apabila ditayangkan kelak.
"Kami amat teruja untuk memperkenalkan Maskulin Who’s Your Bro kepada penonton. Program ini membawa naratif baharu dalam dunia realiti TV dengan eksplorasi kekuatan emosi, ketahanan diri, dan bagaimana hubungan brotherhood dapat mencetuskan perubahan. Misi kami adalah untuk menyampaikan mesej di sebalik cabaran fizikal bahawa kekuatan maskuliniti datang dari sokongan antara satu sama lain dan keberanian untuk mengatasi halangan hidup."
"Kami percaya bahawa rancangan ini akan merentasi sempadan budaya dan generasi. Dengan produksi yang penuh dedikasi dan penyampaian visual dan naratif yang tidak klise, Maskulin Who’s Your Bro diharapkan mampu mencetuskan perbualan mendalam tentang maskuliniti moden," katanya.
Manakala menurut Fiezreen Ahmad, Ketua Bahagian New Gen Dan Men & Hobbies Nu Ideaktiv yang juga merupakan Editor Pengurusan Maskulin berkata, rancangan yang bersiaran 10 episod itu menawarkan hadiah lumayan di samping memberi pendedahan buat penonton lelaki di luar sana tentang apa yang 'lelaki inginkan' melalui penampilan bagi memberi justifikasi bahawa golongan lelaki dan wanita berbeza tetapi ada ketika sama dari segi mental dan fizikal.
“Rancangan ini adalah cerminan Maskulin yang sentiasa meraikan kesihatan fizikal, kestabilan mental dan solidariti sosial sepanjang 24 tahun kewujudan jenama ini di arus perdana. Rancangan Maskulin Who’s Your Bro dilihat mampu menyampaikan nilai maskuliniti yang sejati dengan pengisian tentang kisah perjuangan, kesilapan yang diatasi bersama serta bagaimana sokongan rakan mampu membawa perubahan besar. Selain itu, kolaborasi dengan Media Hiburan, Gempak dan Remaja sebagai Rakan Digital serta Borak seeNI sebagai Rakan Media memastikan kandungan program ini mencapai komuniti yang lebih luas, memberikan dimensi tambahan kepada apa yang kami tawarkan," katanya.
Namun Idlan dan Fiezreen bersepakat mengatakan bahawa rancangan ini adalah manifestasi sempurna sinergi antara kandungan premium Astro dan wawasan strategik Maskulin.
“Kolaborasi ini tidak hanya mengubah norma tetapi juga membuka ruang untuk perbincangan yang lebih mendalam tentang semangat persaudaraan lelaki. Bersama, kami mencipta platform yang meraikan kekuatan emosi dan fizikal secara holistik,” kata Idlan dan Fiezreen.
Sebagai pelengkap kepada program TV, "Maskulin: Who’s Your Bro" juga mempersembahkan kandungan digital eksklusif yang memperluaskan pengalaman campaign audiens. Salah satu elemen utama ialah “Who’s Your Bro Digital Special”, yang ditayangkan di platform digital Maskulin seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube. Kandungan ini memaparkan sisi santai peserta di luar arena pertandingan, termasuk aktiviti harian mereka, personaliti unik dan emosi yang jarang dilihat.
Di samping itu, elemen penting dalam rancangan digital ini adalah advokasi kesedaran kanser prostat, yang mengetengahkan isu kesihatan lelaki dan menyampaikan mesej bermakna kepada masyarakat. Aspek ini akan dipaparkan melalui episod khas digital serta acara lapangan yang akan diumumkan pada masa akan datang, memberikan dimensi tambahan yang mendalam kepada rancangan ini.
Maskulin Who’s Your Bro direka untuk mentakrifkan semula konsep maskuliniti dengan menonjolkan hubungan persaudaraan yang utuh, ketahanan emosi dan daya saing yang sihat. Setiap episod menampilkan cabaran yang direka untuk mendorong konflik, membangkitkan emosi, dan menggalakkan kerjasama, menjadikan naratif program ini lebih dramatik dan menyentuh hati.
Program ini adalah penghormatan kepada keberanian, solidariti, dan keupayaan manusia untuk terus maju. Bukan hanya hiburan kosong semata, penonton akan dibawa dalam perjalanan yang membuka mata tentang apa yang dimaksudkan dengan persaudaraan sejati.
Maskulin Who’s Your Bro turut disokong oleh Media Hiburan, Gempak dan Remaja sebagai rakan digital. Manakala program Borak seeNI akan bersama-sama untuk memberikan maklumat dan info terkini mengenai Maskulin Who’s Your Bro sebagai rakan media rasmi.
Berdurasi 60 minit bagi setiap episod, Maskulin Who’s Your Bro menampilkan 10 episod dengan 12 peserta lelaki ini bakal bersiaran Setiap Jumaat jam 9.00 malam bermula 29 November ini. Menariknya, program ini menawarkan hadiah utama RM30,000 untuk pasangan duo terbaik serta menampilkan pelakon Siti Khadijah, Hariz Hamdan, Dr Say Shazril dan Mat Redho sebagai pengulas program setiap episod bersiaran.
0 Ulasan