NIDJI SUMPAH & CINTA MATIKU DI KUALA LUMPUR

Melewati usia dua dekad berada dalam belantika muzik Indonesia, Nidji masih berdiri teguh dan mencuri perhatian peminat generasi baharu dengan cara tersendiri.

Lagu Sumpah Dan Cinta Matiku menjadi antara lagu paling fenomena di aplikasi TikTok, sekaligus melambungkan kembali nama Nidji, kugiran yang diperkenalkan pada tahun 2002 silam ke persada seni Nusantara.

Berbekalkan lagu yang diterbitkan sebagai runut bunyi filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di tahun 2013, Nidji menjalani karier muzik dalam radar baharu dan kembali sibuk dengan persembahan pentas terutama menerima undangan yang cukup banyak di Malaysia.

Selepas terlibat dengan pelbagai persembahan dan berkongsi panggung bersama pemuzik lain dalam beberapa acara dan festival, tiba masanya Nidji menghiburkan peminat menerusi persembahan berskala besar atau konsert.

Dan sudah tentunya ini sebuah pembuktian kasih sayang selama 23 tahun keberadaan Nidji. Konsert ini dihadiahkan untuk para peminat sempena ulang tahun ke 23 Nidji dalam industri dan akan muncul dengan album baru pada bulan November kelak.

Nidji yang dianggotai lima orang anak muda ini mempunyai misi dan visinya yang tersendiri, di mana kelima-lima mereka ini beranggapan bahawa muzik adalah satu yang universal dan sebagai pemuzik, inilah cabaran yang perlu mereka pikul bagi mendekatkan diri lebih dengan peminat yang menyokong setia mereka selama ini.  

Nidji dianggotai Yusuf Ubay (vokal/saxophone), Andro Regantoro (bass), Randy Danistha (keyboards/synthesizers), Ramadhista Akbar dan Andi Ariel Harsya (gitar), serta Adri Prakarsa (dram) ini beranggapan bahawa konsert yang bakal berlabuh tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu bukanlah yang terakhir dalam sejarah muzik mereka yang berakar hampir 22 tahun lamanya. 

Sebagai menghargai seni muzik yang dibawa mereka hampir dua dekad, MND Sports & Event, selaku penganjur akhirnya menganjurkan Nidji 2.3: The New Chapter yang bakal berlangsung 2 Februari tahun hadapan. 

Konsert yang menjadi pembuka tahun 2025 ini bukanlah sebuah persembahan semata-mata, namun kemunculan mereka pada 2 Februari 2025 ini adalah merupakan konsert solo pertama mereka di dalam sejarah muzik nusantara. Menurut Yusuf, persembahan Nidji pada malam 2 Februari nanti dapat menawan hati peminat muzik yang setia bersama mereka  lebih 25 tahun penubuhannya.

Menurut Daniel Harith, yang merupakan jurucakap kepada MND Sport & Event berkata, pemilihan Nidji adalah kerana aura yang dimiliki mereka walaupun kumpulan ini bertukar penyanyi solo, namun impaknya mampu menarik peminat muzik pelbagai generasi seterusnya bertukar pengalaman dari segi persembahan muzik secara global.

“Selepas melihat Nidji banyak terbabit dalam festival atau berkongsi pentas dengan rakan pemuzik lain di Malaysia, ia mencetuskan idea buat kami di MND Sport & Event menganjurkan konsert solo pertama mereka.

“Hal ini kerana Nidji memiliki banyak lagu-lagu hebat dan popular seperti Hapus Aku, Sang Mantan dan Disco Lazy Time misalnya selain daripada Sumpah Dan Cinta Matiku yang telah membuat band ini kembali hangat.

“Dan kami percaya dengan kekuatan yang ada pada Nidji serta pengaruh muzik bukan hanya pada kelompok peminat awal tahun 2000 tetapi generasi masa kini yang mula mengenal kumpulan ini melalui platform media sosial seperti TikTok.

“Justeru Nidji 2.3: The New Chapter akan melakar sejarah tersendiri buat Nidji dan peminat yang telah lama menantikan konsert solo mereka di sini," katanya. 

Bagi Nidji sendiri, peluang beraksi secara solo dalam konsert berskala besar di Malaysia akan menjadi momen terbaik sekaligus mengembalikan nostalgia buat mereka.

Ketika ditemui media di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Yusuf Ubay, vokalis Nidji dalam satu kenyataan berkata, mereka teruja untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur, Malaysia dan berjanji agar peminat yang hadir menyaksikan persembahan mereka pastinya akan pulang dengan senyuman di bibir dan tentunya mencipta momen dan sejarah tersendiri di dalam kamus hidup masing-masing. 

“Setelah lebih bertahun-tahun Nidji tidak tampil dalam konsert solo, kesempatan yang diberikan MND Event & Sport lewat Nidji 2.3: The New Chapter kami terima dengan tangan terbuka.

Nidji 2.3: The New Chapter akan menjadi medan peminat lama dan generasi baharu mengenali serta menikmati karya Nidji dengan lebih intim. Juga sempena sambutan ulang tahun Nidji yang ke 23 yang juga akan muncul dengan album baru November ini.

“Bagaimana konsert ini bakal terlaksana, kena hadir tetapi yang pasti kalian akan menyaksikan persembahan penuh energatik yang sudah mengalir dalam darah Nidji kelak,” katanya. 

Tiket-tiket berharga serendah RM 168 sehingga  RM258 sudah mula dijual sejak 8 November lalu menerusi laman Ilassoticket.  Ayuh semarakkan muzik generasi kita dan nikmatilah. 

Catat Ulasan

0 Ulasan