'SEJARAH' SIMBOLIK PERJALANAN KARIER SITI NURHALIZA

Siapa menyangka di sebalik anugerah yang dimiliki, Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza antara penyanyi tempatan yang berjaya merakamkan lebih 200 buah lagu dengan 20 buah album yang berjaya diterbitkan sepanjang 3 dekad pembabitannya di dalam industri seni tanah air.

Lagu Sejarah yang dicipta oleh maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa menjadi single terbaharu nyanyian Siti Nurhaliza, yang berkisarkan tentang perjuangan hidup seiring dengan 30 tahun beliau berada di lapangan seni suara sehingga dianugerahkan Biduanita Negara ketiga selepas Allahyarham Puan Sri Saloma dan Datuk Sharifah Aini.

Sejarah merupakan gandingan Erwin Gutawa bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik.  Menurut Erwin, lagu Sejarah diciptakan khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi tersebut.

Erwin meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.

Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti Nurhaliza.

Lagu Sejarah merupakan buah tangan istimewa Siti Nurhaliza sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.

Bagi Siti, Sejarah merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa di mana  beliau dapat kembali berganding bahu dengan Erwin Gutawa bagi menghasilkan sesuatu yang cukup istimewa buat pendengar dan peminat muzik Nusantara. Menurut Siti, beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seni beliau.

“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya. Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’ kata Siti Nurhaliza.

Dalam pada itu, pelantun suara Jerat Percintaan, Dialah Dihati dan Ku MIlikmu, Siti Nurhaliza juga berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur.

Dato' Sri Siti Nurhaliza dalam ucapannya berharap peminat muzik dapat menerima buah tangan terbaharunya ini sebagai tanda kasih sayang dan cintanya beliau terhadap seni dan muzik yang berakar lebih tiga dekad dalam mewarnai industri seni dan hiburan tempatan. 

Catat Ulasan

0 Ulasan