Drama Aku Bukan Ustazah yang disiarkan TV3 menjadi satu-satunya drama Melayu yang menembusi senarai Top 5 rancangan Televisyen (TV) dalam enjin carian, Google Trends Malaysia, tahun ini.
Kejayaan itu menyaksikan drama 28 episod yang menghiasi slot Akasia antara 3 Mei hingga 11 Jun lalu menduduki tempat keempat dalam carta bersama empat rancangan lain dari Korea Selatan dan Hong Kong.
Kenyataan TV3 menyebut, pencapaian diraih Aku Bukan Ustazah bukan sahaja membanggakan kru produksi, malah membuktikan kemampuan industri drama tempatan untuk berdiri seiring dengan produksi antarabangsa.
Drama Aku Bukan Ustazah mengetengahkan tema kekeluargaan dengan elemen Islamik yang memaparkan daya hidup individu berbeza.
Sepanjang tayangan, naskhah itu dilihat memberi impak mendalam dengan membuktikan bahawa penonton masih dahagakan kisah Islamik yang penuh pengajaran dan inspirasi.
Melalui pelbagai babak yang penuh emosi, drama arahan Idora Abdul Rahman itu mengajak penonton merenung realiti kehidupan yang tidak terjangkau, selain menyingkap hidup daripada satu individu ke individu lain.
Kejayaan drama ini terbukti dengan lambakan video reaksi di media sosial yang bukan sahaja mencetuskan gelombang viral di tanah air, malahan meraih perhatian negara jiran.
Drama Aku Bukan Ustazah menampilkan barisan pelakon seperti Erysha Emyra, MK K-Clique, Zahiril Adzim, Syad Mutalib, Haneesya Hanee, Shaza Bae, Qistina Khaled dan Fikhree Bakar.
TV3 menyebut, drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu mungkin kembali untuk musim baharu selepas menerima sambutan positif penonton.
Orang ramai boleh menonton semula drama Aku Bukan Ustazah secara eksklusif di Tonton melalui www.tonton.com.my atau dengan muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan Apple Store.
Sumber berita dipetik dari BH.
0 Ulasan