Sebagai salah sebuah pemain industri utama perfileman tempatan, Astro Shaw terus komited untuk meningkatkan landskap sinema Malaysia agar dapat bersaing dan berdiri setanding industri serantau dan atarabangsa. Astro Shaw meneliti usaha dan menyusun pelbagai strategi untuk sama-sama memastikan agar industri ini terus relevan dan sentiasa bergerak maju ke hadapan. Kami percaya matlamat ini tidak akan membuahkan hasil tanpa kerjasama ramai pihak.
Salah satu inisiatif untuk merealisasikan visi ini ialah dengan memperkenalkan Astro Shaw Cinematic Universe. Langkah strategik ini mencerminkan visi berpandangan jauh Astro Shaw dalam membuka pintu untuk menjalin kerjasama baharu bersama studio produksi, tenaga kreatif, bakat anak seni, agensi serta sektor industri berbeza dalam memperluaskan capaian penonton melalui karya sinematik yang berinovasi.
Astro Shaw Cinematic Universe merupakan projek yang menghimpunkan IP blockbuster filem terbitan Astro Shaw dan bakal dikembangkan menerusi filem dan siri premium terbaru.
Antara filem yang bakal menemui penonton mulai tahun 2025 dan seterusnya ialah ‘Polis Evo 4’, ‘REZA’ dan siri premium ‘Evo Academy’ menerusi francais Polis Evo; filem francais Keluang Man seperti ‘Keluang Man’, ‘Baling’, ‘Patani’ ‘Keluang Man 2’, ‘Besut’ dan ‘Kataha’; manakala High Council Universe bakal diteruskan menerusi siri premium bertajuk ‘Kudrat 1968’. Terdapat beberapa lagi IP terbitan Astro Shaw yang bakal dikembangkan di bawah cinematic universe ini dan pastinya memberi keterujaan kepada peminat industri hiburan tempatan.
Seterusnya, hasil daripada kerjasama ini akan menyaksikan satu gabungan filem pada tahun 2028. Universe yang mempersembahkan nuansa Malaysia ini menggabungkan pelbagai genre dan cerita. Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya, mencipta sejarah baru untuk sinema Malaysia.
Berbeza dengan universe superhero yang lain, ia tidak akan bergantung kepada sekumpulan superhero sahaja. Sebaliknya, ia bakal meneroka naratif yang saling berkait dengan cara yang tidak dijangka. Pendekatan kolaboratif ini menjanjikan penyampaian jalan cerita yang baharu.
Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata sebagai peneraju industri perfileman, Astro Shaw percaya dengan segala kemahiran dan perkembangan teknologi melalui garapan pembikin filem tempatan, kita mampu terbang jauh sekali gus menghasilkan karya kreatif yang bertaraf antarabangsa. Namun oada itu, Astro Shaw membuka peluang untuk menjalin kerjasama dari sudut kreatif untuk menerbitkan karya yang mampu menembusi jurang pemikiran dengan gabungan pelbagai sektor kreatif sedia ada.
“Sejak Astro Shaw ditubuhkan pada 1996, kami yakin ramai yang telah membesar dengan filem-filem kami, di samping menyaksikan transformasi besar kualiti filem yang diterbitkan. Walaupun ada filem tempatan berjaya dengan kutipan box office, namun secara keseluruhan industri filem Malaysia masih bergelut. Pembikin filem kini berdepan persaingan yang sengit, termasuk daripada kandungan media sosial dan platform OTT yang telah mengubah cara penonton berinteraksi dengan kandungan.
Meskipun kutipan kasar box office (GBO) adalah penting, tetapi sebagai penerbit kita perlu meneroka sumber baharu seperti merchandise, intergrasi jenama, dan tembusi platform yang lebih meluas. Pendekatan ini bukan sahaja mendorong pertumbuhan kewangan, tetapi turut memanjangkan jangka hayat dan legasi naskhah yang kita terbitkan.
Kami berhasrat untuk menyokong industri filem Malaysia dengan mencipta peluang buat pembikin filem, serta menyumbang kepada ekosistem sinema Malaysia. Kami meneliti usaha dan menyusun pelbagai strategi untuk membawa industri ini ke tahap yang lebih tinggi. Kami percaya matlamat ini tidak akan membuahkan hasil tanpa kerjasama ramai pihak.
Dengan memperkenalkan Astro Shaw Cinematic Universe, kami ingin mengalu-alukan kolaborasi bersama studio produksi, tenaga kreatif serta bakat-bakat anak seni, termasuk sinergi di antara pelbagai industri.
Dengan mengumumkan barisan filem yang bakal diterbitkan, kami mengharapkan ia memberi keterujaan kepada penonton, termasuklah penggiat seni dan pemain industri, di samping membuktikan kemampuan industri perfileman Malaysia sebagai medium kreatif yang mampu mendekatkan masyarakat. Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penonton, peminat, studio produksi dan rakan kerjasama yang telah memberi sokongan padu kepada Astro Shaw selama ini. Sama-sama kita melangkah ke dunia penuh kemungkinan," katanya.
Dalam pada itu, tahun 2024 memperlihatkan Astro Shaw bergerak agresif sebagai pelopor atau ‘game changer’ yang memulakan era baharu dalam landskap pemasaran. Beberapa kolaborasi strategik dijalin bagi menghasilkan sinergi antara pelbagai industri, seperti penghasilan iklan komersial Kopi Edisi Kluang bersama Wonda untuk filem Keluang Man, Mirinda untuk filem The Experts, serta Tune Talk dan Grab untuk filem Kahar : Kapla High Council. Antara inisiatif yang dilakukan termasuk penghasilan iklan komersial dengan penampilan barisan pelakon utama, selain merchandise rasmi edisi terhad.
Bagi yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada Astro Shaw Cinematic Universe, layari www.astroshawuniverse.com atau klik di sini untuk maklumat lanjut. Ikuti perkembangan filem-filem terbaru di bawah Astro Shaw Cinematic Universe di akaun media sosial Astro Shaw.
0 Ulasan