BACK TO BASIC SHOWCASE, MISHA OMAR MAHU TERUS RELEVAN

Hadir dengan matlamat untuk menghiburkan peminat setianya tatkala industri seni, hiburan dan muzik sudah kembali ke asalnya, Misha Omar tidak terkilan sekiranya persembahan yang diadakan malam tadi, tidak mendapat sambutan, malahan pelantun suara Bunga-Bunga Cinta dan Ku Seru ini harus berbangga kerana Misha Back To Basic Showcase yang berlangsung malam tadi di Jiospace, Petaling Jaya itu berjaya mencipta momen dan 'magis'nya yang tersendiri.

Menyampaikan hampir 23 buah lagu termasuk 12 lagu nyanyian dari Dolla, Nabila Razali, Aina Abdul, Britney Spears dan ramai lagi secara solo dan medley, Showcase yang berlangsung dua jam itu membuktikan aura Misha Omar masih hebat seakan-akan 30 tahun yang lalu.

Kehebatan Misha mendendangkan seleksi lagu seperti Cinta Adam dan Hawa, Sembunyi, Dedebu Cinta, Tiada Aku Mengerti, Pulangkan, Ku Seru, Bunga-Bunga Cinta dan sehinggalah lagu Semoga Abadi, membuatkan penyanyi berusia 42 tahun ini berjaya mencuri tumpuan ramai apabila beliau menampilkan anak lelakinya Muhammad Idris Ezzwa yang muncul di awal pembukaan bagi memperkenalkan ibunya adalah seorang penyanyi legenda, Misha Omar.

Ketika persembahan, Misha sempat berseloroh dengan penonton yang hadir tentang perbezaan menyanyi di zaman dahulu dengan zaman kini, menurutnya ia amat berbeza kerana pada hari ini ia lebih mencabar apatah lagi apabila berdepan dengan kritikan netizen yang kadang kala tidak 'beradab' ketika menulis komen seolah-olah tidak mempunyai perasaan dan harga diri terhadap seseorang.

"Saya amat kagum dengan artis baharu yang saya rasa mempunyai mental yang kuat apabila berdepan dengan komen netizen. Bagi saya, kita tahu apa yang kita lakukan, buat yang terbaik, jangan gentar dengan segala komen kerana ia asam garam untuk menjadi yang lebih baik.

"Saya sebenarnya rindu nak muncul dalam sebuah konsert berskala besar. Pada hari ini, kita cuma buat kenduri kecil sahaja dalam showcase ini. Malam ini bukan konsert, tetapi ia adalah persembahan sesama kita, macam party. Saya memasak untuk anda malam ini.

"Cuma saya berharap saya dapat muncul dalam konsert di lokasi yang lebih besar, seperti di Panggung Sari, Istana Budaya. Saya mahu ia menjadi kenyataan," kata Misha Omar.

Paling istimewa malam tadi, adalah apabila Misha turut meraikan persembahan ini bersama-sama penonton di ruang menonton sambil menyanyikan lagu-lagu popularnya. Bagi anak kelahiran Kelantan ini, Misha beranggapan beliau bukanlah penyanyi yang tidak aktif dan menolak tanggapan sesetengah masyarakat bahawa penyanyi lama sepertinya sesuai berada di pentas Gegar Vaganza. 

"Saya pelik kerana mana sahaja saya pergi, pasti akan ada orang bertanyakan hal ini. Saya punya suka lah. Mereka macam tak boleh tengok saya senang, ada yang bertanya 'Misha bila nak masuk Gegar Vaganza?'. Saya cuma tersenyum dan saya rasa soalan itu tidak perlu saya jawab kerana pentas GV itu bukanlah pentas yang saya rasa perlu saya masuk. Buat rakan seangkatan yang berada di pentas itu, lakukan yang terbaik," katanya sekali gus menyangkal pendapat netizen mengatakan beliau layak memasuki pertandingan nyanyian popular tersebut.

Misha Back To Basic Showcase dihadiri bukan sahaja di kalangan peminat tetapi rakan artis turut kelihatan, antaranya Aina Abdul, Nabila Razali, Kelly Azman dan ramai lagi. Turut mengadakan persembahan bersama Misha Omar adalah Juara Bintang RTM 2018, Hariz Fayahet sekali gus merakamkan kenangan dan memori tersendiri kerana ia memukau hampir 2,000 penonton memenuhi segenap ruang di Jiospace, Petaling Jaya, malam semalam. 


Misha yang kelihatan sedikit penat tetapi bersemangat menyampaikan seleksi lagu-lagu popularnya berharap, showcase yang diadakan malam ini mampu meninggalkan sejuta kenangan sepanjang 3 dekad pembabitannya di dalam industri muzik tanah air seterusnya membuktikan beliau antara penyanyi wanita yang masih relevan di dalam industri hiburan walaupun pada hari ini menyaksikan kebanjiran bakat baharu dan penyanyi muda berbakat besar. 

Catat Ulasan

0 Ulasan