BISIKAN DOSA BAKAL MENGHANTUI ANDA DI PAWAGAM 9 JANUARI 2025

Selepas kejayaan besar kutipan pecah panggung bagi filem seram islamik dari negara Thailand bertajuk 'Khong Khaek', kini syarikat Yusrych Global Sdn Bhd menerbit dan mengedarkan sebuah lagi karya seram berjudul 'Bisikan Dosa', lakonan Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Sherry Merlis, Syazuwan Hassan serta diarahkan oleh Faizul A. Rashid.

Menurut Yusry Makmor yang juga Penerbit dan Pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, Filem seram 'Bisikan Dosa' ini juga bakal menjadi sebuah lagi filem seram Box Office yang membuka tirai tahun 2025 dengan disokong oleh FINAS dan rakan strategik pemasaran Primeworks Studios, Media Brima Berhad serta yang terlibat.

Yusy berkata, idea untuk menghasilkan filem Bisikan Dosa tercetus apabila dia bersama Zafran sedang brainstorm serta membuat kajian berkaitan filem-filem seram yang mana menjadi tarikan kepada penonton pada ketika itu.

"Filem ini adalah satu naskhah yang tepat untuk diangkat menjadi satu filem seram yang mana ia bakal menjadi satu fenomena buat penonton yang masih dahagakan filem tempatan bergenre seram.

"Filem seram adalah satu genre yang dinantikan penonton, penceritaan Bisikan Dosa adalah satu jalan cerita yang realistik, misalnya amalan syirik seperti mandi bunga yang ada unsur khurafat yang masih diamalkan oleh sebilangan manusia tanpa mengira darjat dan keturunan walau dalam zaman yang serba moden kini," katanya.

Menurut Yusry, pembikinan filem Bisikan Dosa juga turut berdepan cabaran yang tersendiri , namun ia sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton. 

"Antara tarikan tersendiri apabila terdapat beberapa plot twist yang tak disangka oleh penonton.

"Selain itu, kesan solekan yang unik dengan interpretasi tersendiri dan lakonan mantap oleh setiap pelakon dalam filem ini yang turut saling mendukung watak satu sama laiin bagi menghasilkan satu persembahan yang menarik dan gandingan yang sangat serasi," katanya.

Faizul A.Rashid selaku pengarah pula memberitahu filem Bisikan Dosa ini mempunyai keunikan yang tersendiri buat penggemar filem-filem hantu atau seram.

"Filem ini bukan sekadar sebuah naskhah seram semata-mata, tetapi penceritaannya juga cukup menarik dan membuatkan penonton perlu menontonnya sehingga habis untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku. 

"Untuk babak-babak seram dan jumpscare, saya akan pastikan ia adalah yang terbaik dan barulah akan dimasukkan dalam filem ini agar dapat memberi kepuasan kepada penonton," katanya.

Pada masa  sama, Faizul turut berpuas hati dengan lakonan yang ditampilkan oleh barisan-barisan pelakon dengan masing-masing dapat menjiwai watak mereka dengan baik dan berkesan.

Ujarnya, semua pelakon telah diberikan skrip beberapa bulan lebih awal sebelum penggambaran dilakukan serta mereka turut menyertai kelas lakonan.

"Jadi persiapan untuk memulakan penggambaran itu semuanya dah lengkap. Setiap pelakon pun dah tahu karakter mereka dan apa yang perlu dibuat," katanya.

Filem seram Bisikan Dosa mengisahkan Sarimah berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baharu berikutan kematian tragis anak kecilnya dan bekas suaminya pula curang dan telah berkahwin dengan wanita lain.

Dia menjadi pembantu rumah kepada keluarga Ayden tetapi tidak lama kemudian, dia dihantui oleh satu roh tidak tenang yang dia kenali dari potret keluarga itu sebagai Zara, arwah isteri Ayden.

Bisikan Dosa bakal menghantui penonton seluruh pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei pada 9 Januari 2025.

Catat Ulasan

0 Ulasan