GEGARKAN PENANG, GAMON MUSIC FANTASIA 25 JANUARI DEPAN

Pentas Healing anjuran Gamon Solution bukanlah satu nama asing dikalangan penggemar muzik tegar tanah air kerana penganjurannya sering dinantikan mereka.

Selepas membina nama, jenama dan komuniti yang kuat, Gamon Society optimis melebarkan sayap mereka dengan sebuah konsert yang ditunggu-tunggu iaitu Gamon Music Fantasia yang akan berlangsung pada 25 Januari 2024.

Bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, konsert yang julung kali diadakan ini membariskan lima band terkenal dan mempunyai reputasi tersendiri iaitumHujan, Bunkface, Ruffedge serta dua band Indonesia, d'Masiv dan Kangen Band di mana ke semua nama-nama ini mempunyai katalog lagu-lagu popular yang dekat di hati para peminat

Sudah tentu kemunculan dua band Indonesia ini bakal membawa impak terhadap konsert yang dibawakan oleh Ladyboss Entertainment dan COF Music ini kerana untuk julung kalinya, mereka dibawa beraksi di luar Kuala Lumpur.

Konsert yang dijangka akan berlangsung selama tiga jam itu ternyata mendapat sambutan yang mengalakkan dari segi jualan apabila 2,000 tiket sudah dijual meskipun publisiti belum dibuat secara meluas.

Pengurus Projek, Syafiq Danish berkata, Pentas Healing yang berlangsung di tujuh lokasi sebelum ini mendapat sambutan hebat dari peminat.

"Malah idea untuk buat Gamon Music Fantasia juga dicetuskan oleh peminat yang minta kami anjurkan konsert lebih besar dan gah. Kiranya ia ibarat penutup kepada pentas Healing tapi lebih kepada berskala besar.

"Memang kami rancang nak buat di Pulau Pinang kerana kebanyakan peminat-peminat dari show sebelum ini berasal dari Utara tanah air.

"Faktor utama pemilihan band pula dibuat sebab populariti, sokongan peminat dan kualiti muzik, selain sesuai dengan genre yang kami bawakan," katanya.

Menurutnya ada diantara band ini bukanlah berkonsep healing sepenuhnya kerana ada juga gabungan pop rock.

"Kami pilih mereka pun hasil tinjauan dikalangan peminat. Daripada konsert yang dibuat sebelum ini, ada undian peminat mahukan nama-nama ini.

"Kami pernah buat pentas Healing di Ipoh dan dalam 10 minit, tiket terjual sebanyak 2,000 keping. Ia sesuatu yang sangat menakjubkan.

"Untuk kali ini, Pulau Pinang dipilih kerana tiada lagi mana-mana konsert yang sebesar itu diadakan di sana. Setia Spice Arena pula jadi lokasi pentas akhir untuk semua tour sebelum ini kerana boleh memuatkan ramai kapasiti peminat," katanya.

Syafiq Danish berkata, seperti namanya Gamon Music Fantasia, mereka membawakan satu konsep seperti sebuah fantasi.

"Kami nak puaskan hati kelab peminat yang kami gelarkan Gamongers kerana ini ibarat konsert fantasi mereka. Jadi apa yang mereka nak sebelum ini, dekat mana dan band apa, kami pasti akan bawakan.

"Ibaratnya Gamon Music Fantasia seperti dream comes true kepada semua pengikut kami. Ada kejutan menanti untuk peminat-peminat yang datang membeli tiket menonton nanti.

"Kami berharap konsert ini dapat sambutan dari peminat di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Utara Perak. Ia sebuah konsert yang best untuk mereka.

"Hujan dan Ruffedge dah lama sangat tak ke Utara, manakala d'Masiv dan Kangen Band memang tidak pernah beraksi di sana sebelum ini.

Sementara itu anggota Ruffedge iaitu Azan Addin melahirkan keterujaan apabila dapat menyertai konsert Gamon Music Fantasia.

"Alhamdulillah, Ruffedge bersyukur sangat dapat terlibat dengan beberapa festival muzik yang bagus semenjak 'comeback' pada 2018. Tapi perbezaan kali ini ialah venue iaitu di Utara tanah air.

"Lama sungguh kami tak beraksi di Pulau Pinang. Memang sangat mengimbau. Kami doakan semoga selain dari cuaca yang baik, segala persiapan Gamon dipermudahkan dan berjalan dgn lancar insya-Allah," katanya.

Tiket berharga serenda RM90 sehingga RM410 sudah mula dijual. Dapatkannya sekarang.


Catat Ulasan

0 Ulasan