GENKRU UBATI KERINDUAN PEMINAT

Bukan mudah untuk memujuk mereka bersatu kembali, apatah lagi bersetuju mengadakan persembahan berskala besar. 

Kepercayaan dan  saling memahami serta kesungguhan untuk beraksi di hadapan penonton menjadi kekuatan kumpulan trio legenda tiga beradik, KRU untuk memecah rekod tradisi melalui Konsert GenKRU yang bakal dipentaskan, 3 Mei tahun hadapan.

Memilih Icon Entertainment yang diterajui Iman Tang selaku penganjur utama, GENKRU adalah sebuah konsert terbesar KRU selepas 6 tahun di mana kali terakhir KRU beraksi adalah pada tahun 2018 melalui Konsert Gergasi KRU 25. 

KRU yang dianggotai Dato' Norman, Edry dan Datuk Yusry berkata, sebagai sebuah kumpulan muzik yang banyak melahirkan pelbagai karya muzik bukan sahaja untuk KRU tetapi juga artis lain menganggap GENKRU sebagai permulaan untuk mereka mendekati lebih banyak peminat dan pendengar muzik sama ada yang lama ataupun baharu. 

Bercakap mengenai penganjuran konsert tersebut, Dato' Norman berkata, mereka (KRU) bersetuju dengan pelawaan Iman kerana kredibiliti Iman Tang sebagai pemillik Icon Entertainment disamping kesungguhannya untuk menganjurkan konsert ini secara serius bukannya hanya pelawaan ataupun jenama semata-mata tetapi pengetahuan Iman Tang dalam industri muzik agak meluas selain potensi Icon sebagai hub untuk mereka berpijak di bumi nyata.

Walaupun ada 5 penganjur konsert merisik mereka, namun KRU memilih Icon Entertainment sebagai penganjur utama bagi merealisasikan konsert GenKRU ini. 

"Sebenarnya banyak yang offer kami untuk melakukan konsert ini. Lama jugak kami membuat keputusan walaupun Iman waktu itu bertanyakan pada kami sebelum kami semua muncul kembali, iaitu kira-kira 3 tahun yang lepas. 

"Ya, kami akui Icon Entertainment pilihan yang tepat untuk kami muncul dalam sebuah persembahan berskala besar dan tentunya malam 3 Mei 2025 itu mampu membangkitkan nostalgia peminat lama dan baharu seterusnya menjadi persembahan penuh epik," katanya.


Enggan berkongsi butiran lanjut mengenai konsep dan persembahan yang dipamerkan pada Konsert GenKR, trio ini berikrar ia akan menjadi sebuah konsert epik di tahun 2025 buat seluruh peminat muzik tempatan.


Bagi Pengasas dan Pemilik rumah produksi ICON Entertainment, Iman Tang menyifatkan KRU sebuah kumpulan muzik yang mempunyai pengaruh luar biasa di dalam industri muzik tanah air.


Persetujuan KRU untuk muncul dalam konsert ini memberi petanda bahawa kumpulan trio legenda ini bukan sembarangan artis tetapi ini satu penghargaan buat Icon Entertainment yang berjaya membawakan KRU sebagai ikon muzik tempatan menerusi GenKRU yang akan dipentaskan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Mei tahun hadapan sebagai tahun penuh bermakna buat pelantun suara Mengerti, Apa Saja, Fanatik, Generasiku, Awas, Gadis Jelita, Terhangat Di Pasaran, Janji Tinggal Janji, Oh La La sehingga Di Dalam Dilema sebagai konsert penuh bersejarah.



"Saya terharu sebenarnya apabila KRU akhirnya bersetuju selepas 3 hingga 4 tahun saya merisik untuk membawakan konsert ini. Ia bukan keputusan untuk membawa mereka kembali selepas KRU mengumumkan mereka bersatu kembali, tetapi hasrat ini telah saya utarakan kepada Datuk Yusry dan akhirnya Dato' Norman bersetuju untuk kembali mengadakan konsert berskala besar.


"Sebagai peminat kepada KRU, saya mengakui saya yang memilih senarai lagu untuk KRU nyanyikan. Sudah tentulah lagu yang saya rasa boleh jadi lagu Sing Along beramai-ramai," katanya.



Bakal menghidangkan lebih 30 buah lagu popular KRU, Konsert GenKRU yang bakal dipentaskan pada 3 Mei 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil itu akan bermula jualan tiketnya pada 20 Disember 2024. Harga tiket bermula dari kategori Ooh!La!La(RM258), Awas(RM358), Mengerti(478), Terhangat Di Pasaran (RM508), Apa Saja(RM548) dan Fanatik (RM588) boleh dimiliki di laman ticket2u.

Catat Ulasan

0 Ulasan