Walaupun cuba membawa pembaharuan dari segi penggunaan teknologi AI atau Artificial Intelligence / kecergasan buatan menerusi persembahan yang julung kali di adakan ini, Penyanyi Datuk Nora Ariffin menganggap peluang untuk mengadakan konsert Hanya Satu : Datuk Nora Ariffin - 30 Years Journey yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada malam Rabu sebagai persembahan solo pertama Nora di dalam industri muzik tanah air.
Mengalunkan hampir 18 buah lagu secara solo dengan dua segmen khas iaitu duet bersama Allahyarham Johan Nawawi yang merupakan suami Datuk Nora dan serta anakanda kesayangan mereka, Iman dan Fatehah, konsert yang berlangsung 18 Disember itu telah merakamkan pelbagai momen bersejarah dan 'magisnya' yang tersendiri.
Bagi Nora, beraksi pertama kali dengan kapasiti yang besar sehingga panggung yang memuatkan 700 penonton pada suatu masa itu, penuh dengan kehadiran peminat pelbagai peringkat usia. Menurutnya, sebagai penyanyi yang berada di dalam industri muzik hampir tiga dekad itu, sambutan penonton adalah satu kepuasan tetapi kata Nora, tanpa Dana Kandungan Kreatif dari Kementerian Komunikasi, mana mungkin beliau mampu menganjurkan persembahan pada malam tersebut.
"Saya bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang baik. Tanpa usaha dan bantuan mereka, mana mungkin saya boleh menganjurkan konsert ini berseorangan. Jika diimbas kembali, hasrat untuk mengadakan konsert ini sebenarnya sudah lama sejak arwah abang Johan ada. Cuma kami tiada dana atau bajet. Alhamdulillah, malam ini saya telah kabulkan hasrat kami yang dulu," katanya.
Nora yang kelihatan agak ceria sepanjang persembahan itu tidak menafikan suaminya yang sekarang, Dr. Rushdi Ramli amat merestui niatnya di dalam industri muzik. Walaupun akan ada cakap negatif di sebalik apa yang dirancang, Nora percaya pada satu iaitu rezeki dan niat yang jujur mampu mengatasi segalanya.
Menariknya konsert malam tersebut apabila Nora dan Arwah Johan Nawawi muncul secara duet bersama menerusi teknologi AI bagi lagu Impian. Hasrat pada awalnya Nora mampu tampilkan mereka secara hologram, namun bagi mengelak sebarang spekulasi dan kontroversi, Nora melupakan hasrat tersebut.
"Jika ikutkan hati, saya mahu segmen ini dilakukan secara hologram, baru ia lebih nyata. Namun apabila difikirkan kembali, saya tukar kepada teknologi AI kerana untuk mengelak kontroversi dan kekangan bajet serta berharap penonton dan peminat lebih memahami apa yang saya lakukan.
"Idea ini sebenarnya sudah mendapat persetujuan suami saya yang sekarang. Pada mereka yang telah hadir malam ini, saya amat hargai dan saya berharap tiada unsur negatif yang boleh menimbulkan provokasi," ujar Nora berharap persembahan malam ini bukanlah yang terakhir untuk beliau kecapi sepanjang 33 tahun berada di dalam industri hiburan tanah air.
Lebih istimewa lagi pada malam konsert ini adalah kemunculan Ratu Pop, Ziana Zain di atas pentas bersama-sama Nora . Kehadiran Ziana sekadar sebagai penonton, namun atas semangat setiakawan mereka bersama, Ziana dan Nora berduet sedikit cuma bagi lagu Di Akhir Garisan.
Konsert Hanya Satu : Datuk Nora Ariffin - 30 Years Journey itu menampilkan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik dan Jennifer Thompson sebagai pengarah persembahan itu telah memukau 700 penonton di PJPAC, Petaling Jaya. Antara lagu hits yang dinyanyikan Nora adalah Rentak Jantung, Debaran, Dipersimpangan Dilema, Jentayu, Dendam Dalam Diam, Naluri, Hanya Satu, Desa Tercinta dan banyak lagi.
0 Ulasan