Imaginur arahan Nik Amir Mustapha dinobatkan Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), menewaskan 4 filem lain iaitu Abang Adik, Rain Town, Hungry Ghost Diner, Sheriff: Narko Integriti, Mechamato Movie dan Duan Nagho Bogho.
Kemenangan Imaginur di FFM33 melayakkan produksi filem tersebut, Lumatic Films Sdn Bhd menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000 beserta trofi.
Pengumuman kemenangan itu diumumkan dalam satu majlis penuh gilang gemilang di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, di sini, malam ini.
Selain menerima anugerah Filem Terbaik, Imaginur juga berjaya membawa pulang enam lagi trofi dalam kategori lain iaitu Pelakon Lelaki Terbaik (Beto Kusyairy), Pengarah Terbaik (Nik Amir Mustapha), Lagu Tema Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penyunting Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.
Trofi kemenangan bagi kategori utama itu disampaikan Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi. Turut hadir, Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik Dan Industri Kreatif, Kementerian Komunikasi ; Dato' Kamil Othman, Pengerusi FINAS dan Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Abang Adik yang dikatakan bakal memenangi hadiah utama itu hanya memperolehi 5 anugerah iaitu Tatarias / Solekan Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Pengarah Harapan, Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenangi Jack Tan.
Kemenangan Jack Tan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menepati ramalan ramai kerana bintang berbakat besar itu berpotensi baik untuk merangkul hadiah utama sebagai Pelakon Lelaki Terbaik sekiranya Jack Tan adalah Pelakon Utama filem Abang Adik.
Filem yang mendapat Dana DKK daripada FINAS itu telah menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi filem Malaysia bertaraf dunia melalui kemenangannya di beberapa festival filem antarabangsa seperti Udine Far East Film Festival, Fribourg International Film Festival, Golden Horses Film Festival, Hong Kong Film Awards, Asian Film Awards, First Youth Film Festival, QCinema International Film Festival, Asian World Film Festival, Malaysia Golden Global Awards, New York Asian Film Festival seterusnya Anugerah Akademi Oscar ke-97 yang hanya sebagai penyertaan dan masih menunggu keputusan rasmi bagi filem yang berjaya.
Walaupun dilihat sebagai pencabar kepada Nabila Huda, Diana Danielle dan ramai lagi, pelakon hebat Susan Lankester meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33). Namun kemenangan Susan berbaloi kerana beliau juga memenangi kategori yang sama di Singapura pada Rabu melalui Asian Academy Creative Awards (AACA).
Elizabeth Tan pula meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Sheriff: Narko Integriti dan ini merupakan kemenangan pertama Elizabeth di dalam industri perfileman tanah air.
Pengarah berkaliber yang kini mencipta nama di beberapa festival filem antarabangsa, Jin Ong diangkat sebagai pemenang trofi Pengarah Harapan di FFM33 melalui filem Abang Adik sekali gus mengiktiraf hasil kerja luar biasa Jin Ong sebagai Pengarah Terbaik bagi filem tersebut yang telah mencipta fenomena di mata dunia.
Aniq Durar yang membintangi filem Pagari Bulan pula meraih trofi Pelakon Lelaki Harapan manakala Trisha Ooi pula memenangi Pelakon Wanita Harapan menerusi filem Janna Endoro tulisan Engku Seri Kelantan & Nayie Klate arahan Sham Jr.
Bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Qisya Hairulzain dipilih memenangi hadiah utama itu menerusi filem Magik arahan Yasu Tanaka.
Untuk kategori Dokumentari Terbaik, dimenangi filem Pekik terbitan Stereo Pixels Sdn Bhd, manakala The Missing Trophy terbitan Wayang Works Sdn Bhd memenangi Filem Pendek Terbaik.
Tidak terkecuali bagi dua buah filem iaitu Naam Katra Isai dan Duan Nagho Bogho dipilih memenangi Anugerah Khas Juri.
Seniman A. Galak memecah tradisi menerusi sumbangannya lebih enam dekad di dalam industri filem tempatan dan nusantara melalui Anugerah Khas Sepanjang Zaman dan Pengarah Sinematografi Terkenal, Indra Che Muda juga dinobatkan penerima Anugerah Khas Karyawan di FFM33.
Kesemua pemenang menerima wang tunai RM5,000 beserta trofi , manakala pemenang Anugerah Khas membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.
Menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding, merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari, FFM33 bertemakan Emas - Evolusi Sinema Malaysia di mana Dato' AC Mizal sebagai pengacara utama.
Keputusan Penuh FFM33
0 Ulasan