Siapa menyangka di sebalik aura 'lelaki' yang dimilikinya, tersimpan sisi 'wanita' bagi seorang penghibur legenda ini.
Bukan mahu mewujudkan sebarang provokasi, namun bagi pelantun suara Azura, Penghujung Rindu dan Kekasih Awal dan Akhir ini, memiliki ratusan jenama mewah 'pewangi' wanita di dalam simpanannya.
Atas dasar mahu berkongsi rasa dan pengalaman, penyanyi Dato' Jamal Abdillah hari ini telah melancarkan 'Verlune' iaitu jenama pewangi miliknya yang dihadiahkan kepada isteri tercintanya, Datin Zai Izzati. Kata Jamal, perniagaan pewangi ini akan diuruskan isterinya sepenuhnya.
Jamal yang ditemani isterinya semasa sesi pelancaran Verlune di sebuah restoran mewah di Mont Kiara, Kuala Lumpur menyifatkan Verlune adalah simbol keteguhan, cahaya dan cinta terhadap isterinya yang menjadi tulang belakang dalam setiap kejayaan yang dikecapinya.
"Saya sebenarnya memang suka pewangi wanita, Boleh dikatakan saya banyak koleksi pewangi wanita yang saya ada. Saya tidak suka bau pewangi lelaki, bau pewangi wanita ini agak lembut, manis dan ada sedikit rasa romantik pada si pemakainya.
Verlune ni dalam bahasa Perancis bermaksud bulan. Ia memberikan ketenangan dan kestabilan terhadap seseorang seperti saya. Bulan yang saya gambarkan itu adalah isteri tercinta saya. Dia sumber kekuatan buat saya untuk mengharungi hari-hari yang penuh liku.
Atas rasa betapa agungnya cinta lelaki terhadap seorang wanita yang memberikan inspirasi, maka lahirlah Verlune buat anda yang sememangnya menghargai sebuah cinta di dalam perhubungan sosial," katanya.
Verlune yang dijual pada harga RM198 boleh dibeli melalui aplikasi TikTok melalui akaun TikTok Shop @lecreateurdesparfum .
0 Ulasan