Kemenangan Susan Lankester di Asian Academy Creative Awards 2024 (AACA) di Singapura pada 4 Disember lalu bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, menerusi lakonan hebatnya sebagai Aileen Choo iaitu seorang isteri dan ibu di dalam filem Rain Town, arahan Tunku Mona Riza boleh dilihat sebagai potensi yang baik untuk merebut anugerah bagi kategori utama itu di Festival Filem Malaysia ke-33 yang bakal berlangsung 7 Disember ini.
Festival yang dianjurkan FINAS dengan sokongan Kementerian Komunikasi itu bakal mempertandingkan 95 buah karya merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari itu dengan 24 kategori anugerah dipertandingkan tentunya boleh dilihat satu perkembangan yang sihat di dalam industri filem tanah air.
Pencalonan Susan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik di FFM33 bersama-sama Diana Danielle, Nabila Huda, Nadia Aqilah dan Chen Keat Yoke itu tentunya menjadi pencabar bagi bintang sedia ada untuk merebut gelaran yang terbaik.
Dalam ucapan kemenangannya yang disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube Asian Academy Creative Awards 2024 pada malam 3 Disember lalu, Susan berkata, beliau cukup terharu dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik di anugerah berprestij tersebut sekali gus berkongsi pentas bersama empat lagi calon hebat lain antaranya Robyn Malcolm (After The Party), Ma Yili (To The Wonder), Nancy Wu (Narcotic Heroes), Manisha Koirala (Heeramandi: The Diamond Bazaar) , Laura Basuki (A Dangerous Game), Poe Mamhe Thar (Sparkle Hearts), Kathryn Bernado (A Very Good Girl), Kym Ng (Till The End), Hsu Wei-Ning (Imperfect Us) dan Bella Ranee Campen (Congrats My Ex!).
Kemenangan Susan di pentas bertaraf antarabangsa itu sebagai batu loncatan untuk beliau terbang jauh sebagai seorang pelakon yang mempunyai bakat luar biasa. Susan yang memegang watak sebagai Aileen Choo ini cukup berterima kasih buat tenaga produksi filem Rain Town khususnya pengarah filem tersebut, Tunku Mona Riza.
"Saya berterima kasih kepada Tunku Mona kerana memberikan watak ini kepada saya. Walaupun saya bukan pilihan pertamanya, dan akhirnya dipilih, sudah tentu saya cukup terharu malahan memegang watak sebagai ibu saya sendiri tentunya saya melakukan yang terbaik.
"Saya memilih untuk memegang watak ini kerana jalan ceritanya yang begitu istimewa dan kuat untuk saya menterjemahkan variasi lakonan saya menerusi naskhah Rain Town ini. Buat Tunku Mona, Thank's and love you!," katanya.
Susan yang pernah meraih trofi Pelakon Komedi Wanita Terbaik pada anugerah sama tiga tahun lalu menerusi drama Keluarga Baha Don berharap kemenangannya ini sebagai satu cabaran untuk beliau memberikan sisi lakonan berbeza menerusi genre filem yang berbeza.
Mengikut rekod, Susan Lankester pernah membintangi 23 buah filem dari tahun 1983 menerusi naskhah Mekanik arahan Othman Hafsham sehinggalah kini. Dalam usia separuh abad, Susan juga pernah merakamkan sebuah album muzik yang berjudul Takdir pada tahun 1993.
Sementara itu, menurut Tunku Mona Riza yang ditemui di Sesi Tayangan Khas Filem Rain Town sempena FFM33 di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Jumaat malam, berkata, Susan adalah pelakon wanita yang cukup berkaliber dan senang bekerja. Kemenangan Susan di Singapura malam semalam amat bermakna buat seluruh produksi filem Rain Town.
"Saya cukup beruntung dapat pelakon sebaik Susan Lankester. Beliau mampu memberikan sisi lakonan yang cukup menakjubkan dan kemenangan ini bagi saya amat bermakna buat kami dan saya berharap Susan terus sukses sebagai pelakon wanita terbaik di dalam industri filem tempatan dan juga antarabangsa," katanya.
Ketika disoal tentang apakah Susan mampu mencipta magisnya di FFM33, Tunku Mona berserah kepada tuhan dan mendoakan agar Rain Town memiliki kejayaan di FFM33.
Pencalonan untuk merebut Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 pada 7 Disember ini boleh dikira sebagai pencabar kepada pelakon wanita lain kerana setiap dari mereka mempunyai sisi lakonan berbeza dan boleh menewaskan kredibiliti lakonan Susan menerusi filem Rain Town.
Dan adakah Rain Town juga bakal merebut trofi Filem Terbaik di FFM33 pada 7 Disember ini. Nantikan keputusannya.
0 Ulasan