KRU PERKENALKAN TEKNOLOGI AI GENERATIF DALAM VIDEO MUZIK

Kumpulan KRU mencuri tumpuan ramai apabila video klip single terbaharu mereka, Voodoo mencatat jumlah tontonan 410k dalam masa 4 hari dilancarkan. KRU yang dianggotai Datuk Yusry, Edry dan Dato' Norman itu mengumumkan kembali sebagai artis rakaman selepas 6 tahun dibubarkan.

Penyatuan semula tiga beradik ini membuktikan keutuhan kumpulan yang popular sekitar tahun 1992 itu sebagai kumpulan R&B yang cukup berpengaruh ketika itu. Voodoo adalah single terbaharu KRU sebagai tanda mereka bakal melancarkan album penuh bertajuk Kaset yang akan dilancarkan tidak lama lagi. 

Bercakap mengenai nostalgia dan konsep muzik serta video klip yang ditampilkan, Edry berkata, penggunaan teknologi AI di dalam industri muzik bukanlah perkara asing. Ia muncul bagi membolehkan pencipta kandungan menjana muzik dan mencipta bunyi baharu bagi mengubah lanskap industri kreatif. 

Teknologi kecerdasan buatan (AI) ini sebenarnya telah diguna pakai dalam pelbagai bidang dan industri sehingga berjaya mengubah kehidupan seluruhnya. Menerusi pembikinan lagu Voodoo, KRU menekankan pengunaan teknologi AI generatif untuk menghasilkan kembar digital (Digital Twin) .

Penonton dapat menyaksikan bagaimana trio tiga adik-beradik ini menjadi muda seolah-olah mengimbas zaman populariti mereka seawal tahun 1990-an sekali gus menjadikan KRU sebagai artis Malaysia pertama yang menggunakan AI Generatif di dalam penjanaan imej dan visual menerusi video klip yang dihasilkan.

Menariknya, video muzik “Voodoo” menggambarkan “prequel” fiksyen bagi kerjaya Norman, Yusry dan Edry ke era awal 90an sebelum pelancaran album pertama KRU pada tahun 1992.

Kumpulan yang telah menghasilkan 13 buah album sejak tahun 1992 hingga 2013 ini juga merupakan perintis kepada muzik era generasi baharu di samping dikenali sebagai komposer dan penggubah muzik yang cukup berpengaruh.

Kemunculan mereka semula bakal mengubah landskap muzik Malaysia dan menjadi trendsetter dalam industri hiburan tanahair. Lagu Voodoo kini berada di kesemua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify.

Catat Ulasan

0 Ulasan