MISHA OMAR MAHU KEMBALI KE ZAMAN SILAM

Bukan mudah untuk mengimpikan sesuatu yang istimewa tatkala industri seni, hiburan dan muzik tanah air ada pasang surutnya. 

Kemunculan banyak bakat baharu di samping pelbagai konsert yang tidak terkira judulnya, Misha Omar juga tidak terkecuali mahu untuk berada di dalam kelompok tersebut. 

Misha Omar Back To Basic Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 21 Disember depan memilih Odeum at Jiospace, Petaling Jaya, Selangor sebagai lokasi utama penganjuran konsert yang bakal mencipta fenomena itu.

Berbeza dengan konsert terdahulunya, showcase kali ini bakal menyajikan persembahan lebih intim dan berskala kecil sekali gus memberi ruang buat penyanyi kelahiran negeri Kelantan itu untuk lebih dekat dengan peminat setia yang menyokong perjalananan kariernya selama dua dekad.

Hadir dengan matlamat untuk menghiburkan peminat yang sekian lama merindui kemunculannya kembali, Samihah @ Aisah Omar, ataupun dikenali sebagai Misha Omar, 42, berharap konsert yang bakal berlangsung lagi dua minggu itu mampu menggamit kenangan dan memori terindah bagi pelantun suara Bunga Bunga Cinta dan Pulangkan ini. 

Gambar: Xtra

"Sudah lama saya menyimpan impian untuk mengadakan konsert besar tetapi sebelum mencapai impian itu, saya mahu bermula dari asas, langkah demi langkah dan menghargai setiap detik bersama peminat. Back To Basic ialah tanda terima kasih saya kepada mereka yang sentiasa memberi sokongan," katanya. 

Menampilkan kolaborasi bersama Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal, Misha Omar Back To Basic Showcase ini bakal diiringi barisan pemuzik profesional di mana Ayop Azril sebagai pengarah muzik ini merupakan konsert solo Misha Omar yang dianjurkan oleh Double M Productions. 

Lebih istimewa apabila konsert ini menggandingkan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert dan Simon Khoo sebagai pengarah teknikal. Pemilihan ini sekali gus mampu memberikan pengalaman audio dan visual yang memukau, meskipun dalam skala yang lebih kecil. 

Ketika bercakap kepada media, Misha Omar menyifatkan konsert yang berdurasi hampir 90 minit itu membawa makna yang sangat besar dalam kariernya sebagai penyanyi.

Gambar: DFP

"Ia membawa makna bagi saya. Seperti kembali kepada zaman awal karier saya, saat di mana saya sering menyanyi di pentas kecil, tanpa banyak gimik dan penataan. Inilah konsep yang ingin saya kembalikan sebagai sebuah persembahan yang jujur dan ikhlas," katanya.

Tiket-tiket berharga serendah RM288 sehingga RM488 sudah mula dijual sejak 27 November lalu melalui laman Jiotix Asia

Catat Ulasan

0 Ulasan