Selepas 15 tahun menyepi, kini ia kembali dan bakal mencipta fenomena baharu. Calpis Soda, bersama Media Prima, dengan bangganya mempersembahkan Calpis Soda One In A Million 2024 (CSOIAM).
Program yang telah mencungkil nama dan bakat luar biasa beberapa penyanyi tempatan ini, sekali lagi menyaksikan pertarungan hebat bagi mencipta legasi yang telah dibina sekali gus mewarnai industri muzik tempatan.
Nama seperti Dayang Nurfaizah, Shah Indrawan Ismail / Tomok, Ayu Damit, Suki dan Sheila Amzah bukanlah satu nama yang asing di dalam industri muzik. Mereka mula mencipta nama menerusi program ini sekali gus memberikan gambaran bahawa One In A Million (OIAM) bukanlah program hiburan semata-mata bahkan ia boleh dianggap sebagai satu platform mencipta legasi bagi melahirkan bakat seni suara yang boleh membina nama dan karier yang mampu bertahan sepanjang zaman.
Selepas selesai sesi ujibakat yang menggemparkan dan berjaya menarik lebih 5,000 penyertaan dari seluruh Malaysia menerusi tujuh buah lokasi merangkumi platform atas talian, kini peserta Top 100 terbaik diumumkan.
Musim terbaru One In A Million (OIAM) adalah kemuncak paling hebat dalam dunia hiburan Malaysia. Ia menandakan sebuah kepulangan paling dinantikan dalam sejarah televisyen Malaysia. Program hiburan tanpa sempadan ini adalah rancangan realiti nyanyian perintis dan terulung yang mula mencipta fenomena pada tahun 2006 dan bakal melahirkan pelapis baharu yang boleh memberikan 'sesuatu' di dalam industri muzik dan hiburan tanah air.
Ketika ditemui media di Petaling Jaya, Santharuban Thurai Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn. Bhd (Malaysia, Singapura dan Brunei) meluahkan keterujaannya terhadap sambutan luar biasa peserta One In A Million (OAIM) musim terbaharu ini. Akui Santharuban, ini platform terbaik bagi mencari perintis dunia nyanyian yang berkualiti.
Gambar: Metro"Kami benar-benar kagum dengan respon yang diterima. Bakat yang kami saksikan ketika uji bakat sungguh luar biasa. Kami tidak sabar untuk melihat peringkat penjurian dan mengetahui siapakah yang akan menonjol dan merebut peluang sekali seumur hidup ini.
"Pertandingan ini bukan hanya hiburan semata-mata, malah ia adalah misi untuk mencari permata, bintang mega Malaysia yang seterusnya yang boleh mencipta legasi dan melakar sejarah. Sebagai rakan kerjasama dan penerbit eksekutif, saya bangga menjadi sebahagian daripada rancangan yang telah mengubah landskap industri muzik Malaysia," katanya.
Musim terbaharu yang bakal bersiaran setiap Ahad bermula 22 Disember 2024 hingga 9 Februari 2025 jam 9.00 malam itu menyajikan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi. Hadiah utama bernilai RM1 juta, termasuk wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000, dan kontrak rakaman eksklusif untuk juara adalah tawaran yang tiada tandingan.
Bukan sahaja bintang yang diraikan untuk hadiah ini, namun penonton dirumah dan juga di studio berpeluang memenangi sebuah Peugeot Landtrek bernilai RM130,000 untuk di bawa pulang setiap minggu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, musim terbaharu ini akan menyajikan banyak kejutan buat penonton dan peminat program One In A Million ini. Kemunculan mereka ini bakal menjadi fenomena seterusnya mencipta nama sebaris penyanyi terkenal yang lain.
"Ia memberikan pengalaman baharu bagi mereka yang belum pernah merasai betapa sukarnya untuk menjadi yang terbaik. Kita mencari bakat pelapis dalam industri muzik. Jika dahulu kita ada Dayang, Suki , Tomok dan sebagainya, mungkin melalui program ini kita bakal ada yang lebih baik dari mereka semua," katanya.
Menampilkan gandingan mantap Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy sebagai pengacara, Calpis Soda One In A Million 2024 (CSOIAM) ini membawakan Datuk Yusry Abdul Halim, Diva Pop Ziana Zain dan Cakra Khan selaku juri utama bagi menterjemahkan seni muzik melalui persembahan bintang OIAM untuk musim terbaharu ini.
Peugeot antara penaja utama Calpis Soda One In A Million 2024 (CSOIAM) ketika berucap melalyi Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais melahirkan keterujaan mereka menjadi penaja untuk One In A Million musim terbaharu ini.
"Kami berbangga kerana dapat menjadi sebahagian dari penaja bagi acara besar ini. One In A Million satu jenama penuh ikonik yang memberikan kami kepercayaan untuk menjadi penaja hadiah utama.
"Jika anda yang kami cari, jangan lupa rebutlah peluang keemasan ini untuk membuktikan anda juga boleh berjaya sebagai penghibur di dalam industri ini," katanya.
Selain Calpis Soda dan Peugeot, Yes 5G dan Oppo juga antara penaja program tersebut. Antara bintang yang kelihatan sebagai peserta musim terbaharu ini adalah penyanyi legenda Alina Hassan yang pernah menjuarai Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1996.
Menurut Alina, beliau sangat teruja ketika namanya diumumkan sebagai Top 100. Pelantun suara Gelombang, Dingin dan Setulus Hati ini berharap beliau terpilih dalam senarai 12 bintang teratas OIAM musim terbaharu ini.
Selain Alina, Firman Basir, Zaki Yamani, Farah Idayu, Allan Anderson, Shazriq Shah dan Bintang RTM Shah Rezza turut kelihatan sebagai Bintang Top 100 OIAM ini.
0 Ulasan