'THE JOURNEY OF SOUND' PUKAU 24,OOO PENONTON

Berjaya memuatkan lebih 24,000 penonton membanjiri segenap ruang di stadium penuh ikonik itu, Konsert The Journey Of Sound yang menampilkan Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza dan Judika boleh dianggap sebuah persembahan penuh 'magis'.

Menyampaikan lebih 33 buah lagu popular Siti Nurhaliza dan Judika yang disampaikan secara duet, solo dan medley, konsert penuh bersejarah itu berlangsung dengan jayanya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. 

Penghibur No 2 selepas Sudirman Arshad, Siti Nurhaliza menganggap konsert yang berlangsung hampir 3 jam itu telah berjaya direalisasikan di sebuah lokasi penuh bersejarah semasa Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Menurut rekod, stadium yang pernah menjadi lokasi kepada acara penutup Sukan Sea KL 1989 di mana Penghibur No 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad pernah membuat konsert di sini dengan memakai pakaian Jalur Gemilang terpanjang ketika memasuki ruang bersejarah ini telah tercipta sekali lagi melalui persembahan memukau Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza bersama Penyanyi lelaki terkenal dari Indonesia, Judika.

Judika yang menyampaikan 12 buah lagu solo dan medley antaranya Bukan Rayuan Gombal, Sampai Akhir, Sampai Kau Jadi Milikku dan 5 buah lagu duet bersama Siti Nurhaliza antaranya Kisah Ku Inginkan, Bukan Dia Tapi Aku, Wajah Kekasih dan banyak lagi menganggap konsert yang  berlangsung malam tadi bakal mencipta kenangan dan memori tersendiri buat dua penyanyi tersebut.

Bagi Biduanita Negara dan pelantun suara Sejarah yang menjadi single terbaharunya, Dato' Sri Siti Nurhaliza menganggap konsert yang dianjurkan Universe Gateway ini telah mencipta sejarah kerana ia diadakan di sebuah lokasi bersejarah di Malaysia.

"Saya bersyukur kerana ia menjadi sejarah dalam karier saya apabila dapat mengadakan persembahan di sini. Bersama Judika dan seluruh team produksi, para peminat khususnya, terima kasih buat semua kerana tanpa kalian mana mungkin kita mampu mengadakan konsert di sini," katanya.

Persembahan Siti Nurhaliza malam tadi menjadi konsert penutup penuh bersejarah bagi tahun 2024 dan menurutnya, beliau akan kembali muncul dengan konsert solo tahun depan dan kemungkinan genre tradisional menjadi pilihan utamanya.

"Kalau saya adakan konsert tahun hadapan  ada yang akan hadir lagi?," katanya.

Sementara itu, penyanyi Judika berkata beliau bertuah dapat berkolaborasi bersama penyanyi nombor satu negara itu di sini malam ini.

"Sudah tentu saya gembira dan teruja apabila dimaklumkan, kami akan membuat persembahan di Stadium ini. Saya bersyukur ia menjadi kenyataan," ujar Judika dengan nada teruja ketika beraksi kali pertama di stadium bersejarah tersebut.

Selain persembahan memukau, konsert malam tadi juga menyaksikan Siti Nurhaliza dan Judika dibawa masuk ke ruang dalam stadium dengan menaiki kereta sport sambil menerima tepukan dari 24,000 penonton yang hadir.

Tidak dilupakan malam tadi, penyanyi Faizal Tahir juga turut membuat persembahan pembukaan dengan mendendangkan 3 buah lagu popularnya sebagai pembukaan rasmi bagi konsert The Journey of Sound di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

Teks: Amy Ikram
Gambar oleh: Iddean Abdul / WT

Catat Ulasan

0 Ulasan