Konsert genKRU yang dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Mei depan nyata menerima sambutan luar biasa apabila tiket untuk hari kedua persembahan habis terjual dalam tempoh 45 minit sahaja selepas jualan dalam talian dibuka pada 3 petang semalam.
Penganjurnya ICON Entertainment menyifatkan sambutan itu sebagai satu fenomena yang mencerminkan penghargaan dan rasa sayang peminat terhadap kumpulan trio adik-beradik tersebut.
"Kami amat terharu dengan sambutan ini, tiket hari pertama (konsert) habis terjual dalam masa sejam dan tiket hari kedua pula hanya dalam 45 minit.
"Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua genKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua mendapat kepuasan maklsimum di kedua-dua hari konsert itu kelak," kata pengasas ICON Entertainment Iman Tang dalam kenyataan hari ini.
Pada 20 Dis lepas, tiket konsert genKRU habis dijual dalam tempoh sejam membuatkan ramai peminat hampa, dan bagi memenuhi permintaan, penganjur mengumumkan penjualan tiket hari kedua konsert.
Selepas enam tahun bubar, KRU yang dianggotai Dato' Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim kembali bergabung di pentas industri muzik bagi mengubat kerinduan peminat setia mereka.
Kumpulan trio adik-beradik itu yang popular dengan lagu-lagu seperti Mengerti, Fanatik, Awas, Generasiku dan Terhangat di Pasaran turut mengalu-alukan artis lain untuk berkongsi pentas dan menambahkan kehangatan persembahan genKRU yang bertemakan era 90-an.
Pernah menghasilkan 13 buah album fizikal sejak tahun 1992 hingga 2013, KRU bakal muncul dengan album terbaharu bertajuk Kaset pada tahun 2025. Selain menjadi artis rakaman, KRU pernah terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan seperti perfileman, penerbitan, animasi, pengedaran dan telah menubuhkan studio perfileman di bawah jenama KRU Studios.
Sumber berita dipetik dari Bernama dan telah dikemaskini oleh Wajib Tonton.
0 Ulasan