Harapan peminat untuk menyaksikan dua lagi finalis bersaing dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 tidak kesampaian apabila TV3 selaku penganjur mengekalkan keputusan asal yang membariskan 10 karya sahaja.
Perkara itu diumumkan melalui program khas, Mega Live di platform TikTok @TV3 Malaysia mula bersiaran pada jam 8.00 malam, tadi.
Ternyata grafik 'Silhoutte' atau gambar bayangan dua orang pada poster promosi AJL39 yang menjadi bualan peminat sejak dimuat naik adalah penaja rasmi, iaitu jenama produk penjagaan kulit wajah, JardinPeau dan dutanya.
Pengurus Projek AJL39 yang juga Ketua Unit Produksi, Penjenamaan dan Hiburan TV3, Russel Mark Rodrigues berkata, apa yang dilakukan pada poster promosi adalah gimik pemasaran bagi pengumuman penaja utama.
"Saya percaya ramai tertanya-tanya siapakah individu di sebalik gambar 'silhouette' terpapar di poster dan iklan AJL39.
"Jadi, saya ingin menjelaskan dua individu terbabit adalah penaja utama AJL39 iaitu JardinPeau yang diwakili Ketua Pegawai Produk, Raja Nur Amirah Raja Ahakdar.
"Satu lagi, duta jenama yang juga Ahli Lembaga Penasihat iaitu pelakon Datuk Aaron Aziz," katanya ditemui selepas sesi Mega Live AJL39 yang disiarkan secara langsung du platform TikTok TV3, jam 8 malam tadi.
Pada masa sama, Russel berkata, AJL39 akan mengekalkan 10 finalis seperti yang sudah diumumkan dan tidak akan ada penambahan.
"Seperti diumumkan ketika Separuh Akhir Muzik-Muzik 39, pendirian pihak produksi masih sama. Hanya 10 lagu akan bersaing pada edisi kali ini.
"Cuma, kami menjanjikan sesuatu istimewa pada malam AJL39 nanti. Antaranya, konsep pentas lebih besar berbanding penganjuran edisi lalu, selain persembahan istimewa yang bakal dibawakan," katanya.
Sebelum ini, dua lagi slot tambahan atau disebut sebagai 'wildcard' itu hangat diperkatakan dalam laman sembang dengan rata-rata peminat memberi andaian mengenai karya bakal dipilih, sekali gus menambah kehangatan AJL39.
Antara lagu yang disebut, Belakang Tabir nyanyian Syamel ciptaan Syamel dan lirik oleh Jiwa, Yennode Macha (Zubir Khan/Music Kitchen/Zubir Khan & Friends), Oh Huminodun (Elica Paujin/Elica Paujin, Butod & Bassman/Elica Paujin, Lenzey & Salimin) dan Panas (Nikki Palikat, Shazee Ishak & Audi Mok/Shazee Ishak/Audi Mok).
Sementara itu, AJL39 bakal menyaksikan gandingan antara pengacara Nazrudin Rahman dan penyanyi Sissy Iman selaku hos utama.
AJL39 akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 16 Februari depan, jam 9.00 malam dan juga strim secara HD di www.tonton.com.my.
Tiket untuk menyaksikan AJL39 secara langsung boleh didapati melalui laman web, www.wowtix.com.my bermula malam ini.
Sepuluh lagu mara ke pentas AJL39 adalah Sengaja (Amir Masdi/Bunga Cantik & Hang Nadim/Bunga Cantik & Hang Nadim) ; Puas Sudah (Aina Abdul/Aina Abdul) dan Saksama (Akim & The Majistret / Akim & The Majistret & Bunga Cantik).
Turut bersaing, Diam (Hael Husaini/Hael Husaini & Iqie Hugh / Hael Husaini & Iqie Hugh) ; Hening Rindu (Marsha Milan/ Ikhwan Fatanna & Wan Salleh / Ikhwan Fatanna) dan Aura (Ernie Zakri/ Ernie Zakri & John Jeeves/Ernie Zakri & John Jeeves).
Tidak ketinggalan, Bukan Lagi Kita (Nadeera Zaini / Hael Husaini & Iqie Hugh) dan Pujaanku (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz / Ali Sariah & Hedimoru).
Menambah cabaran, Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK-K Clique / Apipapol/Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K Clique) dan Terus Bersinar (Hafiz Suip /Mas Dewangga, Jova Devito & Datuk Arisz Abdul Rahman / Mas Dewangga & Jova Devito).
Sumber berita dipetik dari Bharian
0 Ulasan